Pulaie, Ahad, 29 Rabiulakhir 1448 bersamaan 11 Oktober 2026–Badan Sukarelawan Belia Da'ie dengan sokongan Urus Setia Program Keugamaan Belia, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui 'Ilm Series Ke-26 telah mengangkat tema “Rohani, Emosi dan Realiti dalam Membina Ketahanan Jiwa (Resilience)" bersempena dengan Bulan Kesihatan Mental.
Hadir selaku Tetamu Khas ialah Yang Mulia Pengiran Norhayati binti Pengiran Haji Kasharan, Pemangku Pegawai Ugama Kanan, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama. Dengan membawa konsep Detach to Attach, program ini bertujuan meningkatkan kefahaman para peserta mengenai kepentingan mengurus emosi, menghadapi realiti kehidupan dan melepaskan kebergantungan terhadap perkara-perkara di luar kawalan, di samping memperkukuh kebergantungan kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala sebagai sumber kekuatan.
Pengisian program menumpukan kepada pengukuhan rohani, pengurusan emosi dan kesediaan menghadapi realiti cabaran kehidupan. Kisah Maryam 'Alaihassalam dan keluarga 'Imran turut diketengahkan sebagai teladan dalam memupuk kesabaran, ketabahan, tawakal dan kekuatan jiwa.
Program ini menampilkan tiga orang panelis daripada bidang yang berbeza, iaitu bidang keagamaan, kesihatan dan keselamatan. Mewakili bidang keagamaan, Yang Mulia Dayang Siti Noraini binti Haji Mohd Hashim, Da'ie, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama menyampaikan perkongsian bertajuk Hati Yang Diuji, Jiwa Yang Dikuatkan: Kisah Maryam 'Alaihassalam. Sementara itu, Yang Mulia Dayang Irnawati binti Haji Mahir, Ketua Bahagian Latihan dan Pusat Sumber, Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dari bidang kesihatan, membawakan tajuk Memahami Kesihatan Mental, Emosi dan Resilience. Dari bidang keselamatan pula, Yang Mulia DSP Muhd Nurfairuz Nazri bin Salleh, Pegawai Penyiasat Unit Siasatan Khas, Jabatan Siasatan Jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei, menyampaikan perkongsian bertajuk Di Sebalik Kes: Realiti, Risiko dan Pilihan.
Ketiga-tiga perkongsian disampaikan dalam format TED Talk atau bicara inspirasi, diikuti dengan sesi interaktif bersama panelis. Sesi tersebut memberi peluang kepada para peserta untuk melakukan refleksi kendiri, mendalami konsep resilience dan memahami cara menerapkannya dalam kehidupan seharian.
Selain pengisian utama itu, aktiviti jualan daripada Ahli Jawatankuasa Belia Da'ie dan Pusat Da'wah Islamiah juga turut diadakan sebagai aktiviti sampingan.
Penganjuran program ini diharapkan akan dapat meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan memelihara kesihatan mental, membina ketahanan jiwa serta memperkukuh hubungan dengan Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Menerusi konsep Detach to Attach, peserta didedahkan kepada pemahaman bahawa melepaskan sesuatu bukanlah bererti menyerah kalah, sebaliknya merupakan satu langkah untuk membina kekuatan diri dalam menghadapi cabaran kehidupan dengan usaha, kesabaran dan tawakal kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala.
Alhamdulillah, program ini mendapat sambutan yang menggalakkan dengan kehadiran seramai 110 orang peserta, terdiri daripada asatizah, pegawai kerajaan, pesara, golongan belia, wakil Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), mahasiswa dan mahasiswi universiti, alumni Akademi Da'wah, serta orang awam.
Rakaman program ini juga boleh ditonton menerusi akaun Instagram rasmi Belia Da'ie, @beliadaie.








Foto: PDI