Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

SIARAN AKHBAR

12 October 2026

SIARAN AKHBAR

​

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA

SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM BERKENAN MENERIMA MENGADAP TUAN YANG TERUTAMA PEMANGKU MENTERI BERTANGGUNGJAWAB BAGI EHWAL MASYARAKAT ISLAM MERANGKAP MENTERI NEGARA KANAN, KEMENTERIAN PERTAHANAN, REPUBLIK SINGAPURA

 

Bandar Seri Begawan, Isnin, 12hb. Oktober 2026

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, berkenan menerima mengadap Tuan Yang Terutama Zaqy Mohamad, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan, Kementerian Pertahanan, Republik Singapura. Majlis tersebut berlangsung di Istana Nurul Iman.

Semasa Majlis Mengadap tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Tuan Yang Terutama telah berbincang bagi meningkatkan hubungan kerjasama di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura yang mempunyai kepentingan bersama. Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga bertitah bahawa Negara Brunei Darussalam memberi sokongan kepada Republik Singapura selaku Pengerusi ASEAN pada tahun 2027.

Menyertai Tuan Yang Terutama semasa majlis mengadap tersebut ialah Tuan Yang Terutama Yip Wei Kiat, Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura ke Negara Brunei Darussalam dan Tuan Kadir Maideen, Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).

Turut hadir pada majlis mengadap berkenaan ialah Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Menteri Hal Ehwal Ugama, dan Yang Mulia Dr. Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Tuan Yang Terutama mengadakan Lawatan Pengenalan ke Negara Brunei Darussalam selama tiga (3) hari, mulai 11hb. hingga 13hb. Oktober 2026.

Lawatan ini merupakan kunjungan pertama Tuan Yang Terutama  ke  Negara Brunei Darussalam selaku Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan, Kementerian Pertahanan, Republik Singapura. Lawatan ini bertujuan untuk mempererat serta memperkukuh hubungan dan kerjasama sedia ada antara Negara Brunei Darussalam dengan Republik Singapura termasuk menyaksikan Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) Pengiktirafan Pensijilan Halal dan Bidang-bidang Kerjasama antara Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) dan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).


​