Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MASJIDKU MAKMUR, NEGARA BERKAT

09 October 2026

MASJIDKU MAKMUR, NEGARA BERKAT

​

Bandar Seri Begawan, Jumaat, 27 Rabiulakhir 1448 bersamaan 09 Oktober 2026–Belia umpama berlian kerana merupakan aset berharga kepada sesebuah negara. Mereka memainkan peranan penting sebagai sumber tenaga manusia dalam menggerakkan pembangunan, khususnya dalam bidang ekonomi, perindustrian dan perdagangan. Kewujudan golongan belia juga menjamin kesinambungan tenaga kerja serta menjadi ejen penting dalam meneruskan dan memperkembangkan generasi akan datang.  Sehubungan dengan itu, belia perlu dipersiapkan dengan nilai 4B, iaitu berilmu, berakhlak, beradab dan bertakwa, bagi melahirkan pemimpin yang berkaliber dan bertanggungjawab. Dengan penghayatan nilai-nilai tersebut, insya-Allah golongan belia akan mampu membawa perubahan yang positif serta menyumbang kepada kemajuan dan pembangunan negara pada masa kini dan masa akan datang.

Perkara tersebut antara perkara yang disampaikan melalui Tazkirah Subuh bertajuk “Belia Cemerlang: Berilmu, Berakhlak, Beradab dan Bertakwa" yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Haji Fansuri Sharimi @ Haji Mansur Bin Mohamad Ali, Pegawai Hal Ehwal Masjid Tingkat Khas selaku Ketua Bahagian Imarah, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama bagi menyerikan Program 'Masjidku Makmur, Negara Berkat' yang diadakan pada awal pagi tadi di Masjid Omar 'Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan.

Program dimulakan dengan Sembahyang Fardhu Subuh berjemaah, diikuti bacaan Wirid serta Tazkirah Subuh.

Program 'Masjidku Makmur, Negara Berkat' diungkayahkan dengan tujuan untuk mengajak umat Islam di negara ini agar memakmurkan masjid melalui amalan beribadah secara berjemaah, pengajian ilmu dan pelaksanaan aktiviti keagamaan.

Di samping membentuk masyarakat yang berdisiplin, bertanggungjawab serta saling menghormati, program ini juga berperanan menanam rasa cinta terhadap masjid sebagai rumah Allah. Selain itu, untuk memupuk semangat Negara Zikir dan Negara Berkat melalui penghayatan ajaran Islam dalam kehidupan seharian, sekali gus menyumbang kepada kesejahteraan dan kemakmuran negara berasaskan nilai-nilai Islam.​