Lumut, Khamis, 26 Rabiulakhir 1448 bersamaan 08 Oktober 2026–Seramai 10 orang murid persekolahan Ugama dari Daerah Belait menerima sumbangan derma melalui Program Jalinan Silaturahim yang diungkayahkan oleh Bahagian Kenaziran, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Program tersebut merupakan inisiatif tahunan Bahagian Kenaziran, Jabatan Pengajian Islam bagi membantu murid-murid persekolahan Ugama yang kurang berkemampuan melalui pemberian sumbangan berupa barangan keperluan, termasuk peralatan dan pakaian seragam sekolah serta keperluan lain.
Penyampaian sumbangan tersebut disempurnakan oleh Yang Mulia Dayang Hajah Ernie Yusnani binti Haji Md. Noor, Ketua Bahagian Kenaziran, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, pada petang tadi bertempat di Dewan Sekolah Ugama Sungai Taring, Lumut.
Program Jalinan Silaturahim ini dihasratkan dapat meringankan beban yang ditanggung oleh para ibu bapa murid berkenaan, di samping menyuntik semangat kepada murid-murid tersebut untuk terus gigih menuntut ilmu dan mencapai kejayaan dalam pembelajaran.
Penganjuran program ini turut mencerminkan keprihatinan dan tanggungjawab sosial terhadap kebajikan murid-murid yang memerlukan. Usaha berkenaan diharap dapat terus mengeratkan hubungan silaturahim antara pihak sekolah, ibu bapa, masyarakat dan agensi yang terlibat, selaras dengan tuntutan Islam untuk saling membantu, mengambil berat dan menjaga kebajikan sesama umat Islam, khususnya mereka yang memerlukan.
Foto: JPI