Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MALAM MUNAJAT ANJURAN KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA KALI KE-249

03 October 2026

MALAM MUNAJAT ANJURAN KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA KALI KE-249

​

Negara Brunei Darussalam, Sabtu, 22 Rabiulakhir 1448 bersamaan 03 Oktober 2026–Kematian merupakan satu hakikat kehidupan yang pasti akan dilalui oleh setiap yang bernyawa. Kematian bukanlah penamat, tetapi sebaliknya merupakan sebuah pintu gerbang menuju ke alam abadi. Oleh sebab kematian itu pasti, Rasulullah SAW menyarankan agar kita sentiasa menghidupkan ingatan kita kepada kematian. Imam al-Ghazali Radhiallahu 'Anhu di dalam kitab beliau, Ihya' 'Ulumuddin, menyebutkan bahawa pada mengingati mati itu ada dua faedah utama: Yang pertama, An-Nafrah 'anid dunya, iaitu hatinya menjauh dan melarikan diri daripada tertipu dengan kemewahan dunia. Kedua, Asy-Syauq ilal-akhirah, iaitu timbulnya rasa rindu yang mendalam terhadap ganjaran dan kehidupan akhirat. Perkara ini diperkuatkan lagi oleh wasiat dan nasihat Imam 'Abdullah bin Alawi al-Haddad Radiallahu 'Anhu. Beliau memetik bahawa orang yang sentiasa meletakkan kematian di hadapan matanya akan memperolehi beberapa kebaikan iaitu bersegera beramal soleh, hati yang Zuhud, dan lekas-lekas dalam bertaubat. Semoga Allah Subhanahu Wa Ta'ala mengurniakan kita hati yang sentiasa bersiap sedia, mematikan kita dalam husnul khatimah, dan mengumpulkan kita bersama golongan hamba-Nya yang soleh di akhirat kelak.

Demikian antara inti pati Tazkirah bertajuk Zikrul Maut – Benteng dan Penyelamat Diri yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Abdul Hadi Nasrullah bin Muhammad Ashraf, Da'ie bertauliah Majlis Ugama Islam Brunei dari Masjid Kampung Lumapas bagi menyerikan Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama Kali Ke-249 pada malam tadi.  

Menyemarakkan Program Malam Munajat minggu ini ialah ahli-ahli jawatankuasa takmir, belia dan jemaah dari Masjid Kampung Lumapas; serta beberapa buah masjid dan surau di seluruh negara. Turut menyertai, warga kerja Kementerian Hal Ehwal Ugama dan individu yang mengikuti program ini secara maya dari kediaman masing-masing.

Atur cara Munajat malam tadi dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Berhormat Awang Mohamad Ali bin Tanjong, Ketua Kampung Lumapas B, Yang Berhormat Ahli Majlis Mesyuarat Negara Zon 1 Daerah Brunei dan Muara, Penasihat Ahli Jawatankuasa Masjid Kampung Lumapas yang bersiaran dari Masjid Kampung Lumapas.

Diikuti dengan bacaan Surah Al-Mulk beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Awang Mohamad Wazzirul Wafaudin bin Esa, Pegawai Pelajaran, Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan, Setiausaha Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Lumapas. Seterusnya, Doa Munajat dibacakan oleh Yang Mulia Awang Muhammad Aizat bin Mohammad Sah Minan, Pemangku Ketua Imam, Imam Masjid Kampung Lumapas, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Majlis diteruskan dengan bacaan Doa Memohon Dikurniakan Hujan Sebab Dilanda Jerebu oleh Yang Mulia Awang Haji Zulkiflee bin Haji Jaili, Pegawai Pendidikan Tingkat Khas, Pusat Tingkatan Enam Sengkurong, Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan, Timbalan Pengerusi Majlis Perundingan Kampung, Kampung Lumapas B.

Sejurus selesai Tazkirah, acara disusuli dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah dipimpin oleh Yang Mulia Awang Haji Mohammad Ali Wafiuddin bin Haji Osman, Pengasas Al-Busyra Islamic Event Management, Belia Masjid Kampung Lumapas. Kemudiannya, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Yang Mulia Awang Muhammad Hilmi bin Muhammad Iskandar, Bilal Masjid Kampung Lumapas.

Program Malam Munajat bertujuan mengajak masyarakat Islam mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala melalui amalan kerohanian, memohon keampunan, membaca dan menghayati ayat-ayat suci Al-Quran, serta merafakkan dan mengaminkan doa secara beramai-ramai dengan penuh pengharapan agar Negara Brunei Darussalam beserta seluruh rakyat dan penduduknya sentiasa terpelihara daripada sebarang musibah dan penyakit berjangkit. Semoga segala amalan kerohanian dan doa munajat yang kita panjatkan serta aminkan diterima dan dimakbulkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala.

Orang ramai dialu-alukan untuk ikut serta dalam acara Malam Munajat yang diadakan secara maya melalui pautan berikut: http://tiny.cc/munajatkheu.​