PULAIE, Ahad, 15 Rabiulakhir 1448H bersamaan 27 September 2026 –
Belia Muallaf As-Syahadah dengan kerjasama Urus Setia Program Keugamaan Belia, Pusat Da’wah Islamiah, telah mengadakan Majlis Konvokesyen Program Ikon Muallaf 2.0: Jalan Lima bagi Tahun 1447-1448H/2026M yang berlangsung di Dewan Persidangan, Pusat Da’wah Islamiah, Kampung Pulaie.
Majlis konvokesyen berkenaan menandakan penutupan rasmi Program Ikon Muallaf 2.0: Jalan Lima, yang telah dilaksanakan selama lima (5) bulan dengan memberi penekanan kepada pengembangan ilmu, pembinaan keyakinan diri, pengukuhan kemahiran serta pemerkasaan potensi belia muallaf.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Mulia Muhammad Fazeerul Dhawi bin Abdullah Tikom, diikuti dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran, Surah Ali ‘Imran, ayat 102 hingga 104, oleh Yang Mulia Awang Muhammad Aldey Yusriman bin Abdullah Adnan. Intisari ayat-ayat tersebut kemudiannya disampaikan oleh Yang Mulia Dayang Nurhafizzah binti Rosli, peserta Program Ikon Muallaf 2.0.
Majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada Yang Mulia Nurul Huda binti Muhammad Ashraf, Pengerusi Belia Muallaf As-Syahadah. Dalam ucapan tersebut, beliau mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada para peserta atas kesungguhan, semangat dan komitmen yang telah dicurahkan sepanjang mengikuti Program Ikon Muallaf 2.0: Jalan Lima. Beliau turut berharap agar segala usaha dan penglibatan para peserta sepanjang program berkenaan menjadi sesuatu yang besar nilainya di sisi Allah Subhanahu Wa Ta’ala serta dapat terus memberi manfaat kepada komuniti muallaf dan masyarakat secara keseluruhannya.
Majlis kemudiannya disusuli dengan ucapan daripada Tetamu Kehormat Majlis, Yang Mulia Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahuddin, Pemangku Setiausaha Majlis Ugama Islam Brunei, Jabatan Majlis Ugama Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Dalam ucapannya, beliau berkata bahawa majlis konvokesyen berkenaan bukan sekadar menandakan berakhirnya sebuah program, malah merupakan satu pencapaian serta ruang untuk meraikan perjalanan para peserta dalam menimba ilmu, membina keyakinan diri, mengembangkan potensi dan mengeratkan ukhuwah sesama mereka.
“Segala ilmu, kemahiran dan pengalaman yang diperoleh sepanjang program ini hendaklah dijadikan bekalan untuk terus melangkah ke hadapan. Jangan takut untuk mengambil peluang,mencuba perkara baharu dan terus memperbaiki diri,” ujar Tetamu Kehormat Majlis lagi.
Tetamu Kehormat Majlis menzahirkan harapan agar program berkenaan dapat melahirkan lebih ramai belia muallaf yang berkeyakinan, berilmu, berakhlak mulia dan bersedia untuk tampil kehadapan sebagai individu yang mampu menjadi contoh yang baik kepada masyarakat.
Acara kemudiannya diteruskan dengan penutupan rasmi Program Ikon Muallaf 2.0: Jalan Lima oleh Tetamu Kehormat Majlis, diikuti dengan tayangan video yang memaparkan perjalanan dan aktiviti program sepanjang tempoh pelaksanaannya.
Seterusnya, keputusan Penilaian Ikon Muallaf 2.0 diumumkan oleh Yang Mulia Awang Isham bin Ismail, Ketua Urus Setia Program Keugamaan Belia, Pusat Da’wah Islamiah.
Tetamu Kehormat Majlis kemudiannya menyampaikan sijil dan hadiah kepada para peserta Program Ikon Muallaf 2.0: Jalan Lima. Penyampaian turut disusuli dengan sijil dan cenderahati penghargaan kepada para penaja, penceramah, asatizah Urus Setia Program Keugamaan Belia serta Ahli Jawatankuasa Berdedikasi sebagai tanda penghargaan atas sumbangan dan komitmen dalam menjayakan program berkenaan.
Majlis diakhiri dengan bacaan Tasbih Kaffarah dan Surah Al-‘Asr yang dipimpin oleh Yang Mulia Awang Muhammad Aldey Yusriman bin Abdullah Adnan.
Dengan berlangsungnya majlis tersebut, maka secara rasminya berakhirlah Program Ikon Muallaf 2.0: Jalan Lima bagi Tahun 1447-1448H/2026M, yang dihasratkan untuk terus menjadi salah satu wadah dalam memperkasa belia muallaf melalui pengukuhan ilmu, kemahiran,keyakinan diri, kepimpinan dan ukhuwah.