TUTONG, Sabtu, 14 Rabiulakhir 1448H bersamaan 26 September 2026 -
Sempena Sambutan Jubli Intan Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong, Majlis Ceramah Khas Perhimpunan Muslimah telah diadakan pagi tadi bertempat di Dewan Solat Utama, Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong.
Hadir selaku Tetamu Kehormat di majlis tersebut ialah Yang Mulia Datin Norazimah binti Haji Mohd Ramlee, isteri Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama. Majlis telah dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Mulia Tetamu Kehormat Majlis.
Ceramah bertajuk “Saat Hati Lelah, Kembalilah Kepada Allah” telah disampaikan oleh Penceramah Undangan, Yang Mulia Ustazah Siti Noraini binti Haji Mohd Hashim, Guru Ugama Terlatih, Bahagian Penyebaran Da’wah (Kaunseling), Pusat Da’wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Fokus utama ceramah tersebut adalah mengenai konsep sabar, redha dan tawakkal sebagai penawar utama dalam mengatasi kelesuan jiwa (emotional burnout) dan ketekanan hidup. Ceramah tersebut turut menekankan keperluan untuk memperkukuhkan pergantungan kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala dengan menjadikan solat, Al-Quran, zikir dan doa sebagai benteng utama apabila menghadapai pelbagai ujian.
Sebagai hamba Allah Subhanahu Wa Ta’ala, kita perlu mengubah persepsi terhadap ujian dengan lebih memahami hikmah di sebalik setiap kesedihan dan cabaran serta melihatnya sebagai tanda kasih sayang Allah Subhanahu Wa Ta’ala untuk mengangkat darjat hamba-Nya. Emosi dan kesihatan mental perlu diurus dan ditangani berdasarkan pandangan serta tuntutan Islam.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan, Muslimah dari masjid-masjid di sekitar Daerah Tutong dan orang ramai.
Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderahati kepada Penceramah Undangan dan Tetamu Kehormat Majlis oleh Yang Mulia Ustazah Hajah Zainun binti Haji Md. Daud selaku Pengerusi Majlis serta bacaan doa oleh Yang Mulia Dayang Haziqah Najwa binti Haji Ibrahim selaku Penyelia Hal Ehwal Muslimah, Jawatankuasa Takmir Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong.
Pameran Khas Jubli Intan 60 Tahun dibukakan bagi kunjungan orang selama tiga (3) hari berturut-turut, iaitu:
- Hari Jumaat, 25 September 2026 bermula pukul 2.00 petang hingga 9.00 malam;
- Hari Sabtu, 26 September 2026 bermula pukul 8.00 pagi hingga 9.00 malam; dan
- Hari Ahad, 27 September 2026 bermula pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang
Beberapa program dan aktiviti seperti Ceramah Khas Muslimah, Program Bicara Belia, tazkirah, peraduan mewarna untuk kanak-kanak, jualan “Food Truck” peniaga-peniaga tempatan akan berlangsung di sepanjang tiga hari acara sambutan tersebut.
Bagi tujuan untuk mengimarahkan Sambutan Jubli Intan 60 Tahun Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong, pelbagai program dan aktiviti telah diadakan sejak awal tahun 2026 ini antaranya, Forum Perdana, aktiviti Riadah “Fun Run”, Bengkel Wudhu, Program Belia, dan Kempen Kebersihan.
Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong dirasmikan pada hari Jumaat, 26 Ogos 1966 oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam (yang pada waktu itu memegang gelaran Yang Teramat Mulia Seri Paduka Duli Pengiran Muda Mahkota Hassanal Bolkiah).
Sebagai sebuah masjid utama di Daerah Tutong, Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong ini bukan sahaja berperanan sebagai sebuah tempat beribadat semata-mata, tetapi juga dimanfaatkan untuk pelbagai program dan aktiviti bagi memperkukuh hubungan antara penduduk dan masyarakat serta tumpuan bagi acara-acara keraian dan sambutan hari-hari kebesaran Islam dan negara.