Sabtu, 14 Rabiulakhir 1448H bersamaan 26 September 2026M-
Dalam usaha memperkukuhkan pendekatan dakwah yang lebih dekat dengan masyarakat, Pusat Da’wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Cawangan Da’wah Daerah Tutong, dengan kerjasama Persatuan Saudara-saudara Baru Daerah Tutong (PESATU) dan Majlis Perundingan Kampung (MPK) Tanjong Maya dan Lubok Pulau, Daerah Tutong telah mengadakan Program ‘Sungdai Ga PESATU’ – PESATU Komuniti Fest 2026 yang bermaksud ‘Lakastah ke PESATU’.
Program yang diadakan di Dewan Serbaguna PESATU, Kampung Tanjong Panjang, Mukim Tanjong Maya, Daerah Tutong, merupakan sebuah festival komuniti berteraskan dakwah yang menggabungkan elemen dakwah, keusahawanan, kebudayaan dan kekeluargaan dalam suasana yang santai, inklusif dan mesra masyarakat.
Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Menteri Hal Ehwal Ugama.
Turut hadir ialah Yang Mulia Dr. Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad, Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Awang Haji Shamshol bin Haji Omar, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), Kementerian Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahuddin, Pemangku Setiausaha Majlis Ugama Islam Brunei, Kementerian Hal Ehwal Ugama; dan Yang Mulia Dr. Dayang Noryati binti Haji Ibrahim, Pemangku Pengarah Urusan Zakat, Waqaf dan Baitulmal, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Hadir sama ialah Yang Mulia Awang Haji Mohammad Sofian bin Haji Basri, Pemangku Pegawai Daerah Tutong; Yang Mulia Awang Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abd Rahman, Pemangku Pengarah Pusat Da’wah Islamiah; Yang Mulia Pengiran Hajah Haslina Suriani binti Pengiran Haji Piut, Pemangku Penolong Pengarah Pusat Da’wah Islamiah; Yang Mulia Awang Mohd Azaman Shah bin Haji Sahari, Penghulu Mukim Tanjong Maya, Daerah Tutong; Ketua-ketua Kampung Daerah Tutong; ahli-ahli Persatuan Muallaf; serta para pegawai dan kakitangan Pusat Da’wah Islamiah dan Cawangan Da’wah Daerah Tutong.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah dan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam yang dipimpin oleh Yang Mulia Awang Muhammad Didi Sufian bin Haji Masri, Tenaga Pengajar Kelas Bimbingan Muallaf PESATU.
Acara kemudiannya diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Mulia Awang Haji Hasbie Azrol bin Abdullah Liat, Yang Di-Pertua PESATU selaku Pengerusi Bersama Majlis, diikuti dengan persembahan nasyid daripada ahli persatuan PESATU.
Acara kemuncak program ialah perasmian Sungdai Ga PESATU yang disempurnakan oleh Tetamu Kehormat Majlis. Majlis kemudiannya diteruskan dengan lawatan ke zon-zon pameran dan booth, antaranya Zon Sejarah PESATU, Zon Keusahawanan yang menampilkan Muallafpreneurs dan Program Satu Kampung Satu Produk (1K1P), Zon Da’wah, Zon Komuniti dan Zon Selera (Food Festival).
Penganjuran program Sungdai Ga PESATU ini bertujuan untuk memperkenalkan PESATU kepada masyarakat sebagai sebuah pusat komuniti yang aktif dalam melaksanakan aktiviti dakwah, kemasyarakatan dan pembangunan komuniti.
Selain itu, program berkenaan turut dihasratkan untuk menjadi salah satu platform yang berkesan dalam memperkukuhkan ukhuwah, menyebarluaskan dakwah secara berhikmah, memperkasa komuniti serta memberikan manfaat yang berterusan kepada masyarakat selaras dengan slogan “Dari Komuniti, Untuk Komuniti.”