Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

KEBERANGKATAN KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM KE MAJLIS SAMBUTA

25 September 2026

KEBERANGKATAN KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM KE MAJLIS SAMBUTA

Tutong, Jumaat, 13 Rabiulakhir 1448 bersamaan 25 September 2026 -

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Jubli Intan 60 Tahun Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong tengah hari tadi.

Berangkat sama ialah paduka-paduka anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam beserta kerabat diraja dijunjung oleh Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Menteri Hal Ehwal Ugama; Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof, Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II; Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Awang Haji Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan; Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Awang Haji Salim bin Haji Besar, Ketua Hakim Syarie; dan Yang Mulia Dato Seri Paduka Dr. Awang Haji Norarfan bin Haji Zainal, Timbalan Menteri Pendidikan.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan merasmikan Pameran Khas dan Buku Kenangan Abadi Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong dan menandatangani Plak Jubli Intan Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong. Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya berkenan menerima pesambah yang disembahkan oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan kerabat diraja seterusnya berkenan meninjau Pameran Khas Jubli Intan 60 Tahun Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong dan kemudiannya berkenan bergambar ramai dengan ahli-ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Hassanal Bolkiah.

Antara lain pameran tersebut memaparkan sejarah perjalanan Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong sejak awal pembinaannya, program pendidikan, kelas-kelas pengajian, aktiviti-aktiviti keagamaan, kemasyarakatan dan kebajikan serta Perancangan Strategik Masjid tersebut.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan kerabat diraja seterusnya dijunjung ke Dewan Sembahyang Utama untuk menunaikan Sembahyang Sunat Hajat dan Sembahyang Fardhu Jumaat berjemaah.

Khutbah Khas Jumaat sempena Jubli Intan 60 Tahun Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong disampaikan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Awang Haji Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan. Sembahyang Sunat Hajat diimamkan oleh Yang Mulia Awang Sahibul Omar bin Haji Yusof, Imam Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong. Sementara Sembahyang Fardhu Jumaat diimamkan oleh Yang Mulia Awang Mohammad Waiz bin Tejuddin, Ketua Imam Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong. Manakala Azan dan Ma’syir dilaungkan oleh Yang Mulia Awang Hazrin bin Haji Hassan, Bilal Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong.

Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta kerabat diraja berkenan menerima junjung ziarah daripada para pembesar negara, jemputan dan jemaah serta orang ramai.

Pameran Khas Jubli Intan 60 Tahun dibukakan bagi kunjungan orang selama tiga (3) hari berturut-turut, iaitu:
- Hari Jumaat, 25 September 2026 bermula pukul 2.00 petang hingga 9.00 malam;
- Hari Sabtu, 26 September 2026 bermula pukul 8.00 pagi hingga 9.00 malam; dan
- Hari Ahad, 27 September 2026 bermula pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang

Beberapa program dan aktiviti seperti Ceramah Khas Muslimah, Program Bicara Belia, tazkirah, peraduan mewarna untuk kanak-kanak, jualan “Food Truck” peniaga-peniaga tempatan akan berlangsung di sepanjang tiga hari acara sambutan tersebut.

Bagi tujuan untuk mengimarahkan Sambutan Jubli Intan 60 Tahun Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong, pelbagai program dan aktiviti telah diadakan sejak awal tahun 2026 ini antaranya, Forum Perdana, aktiviti Riadah “Fun Run”, Bengkel Wudhu, Program Belia, dan Kempen Kebersihan.

Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong dirasmikan pada hari Jumaat, 26 Ogos 1966 oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam (yang pada waktu itu memegang gelaran Yang Teramat Mulia Seri Paduka Duli Pengiran Muda Mahkota Hassanal Bolkiah).

Sebagai sebuah masjid utama di Daerah Tutong, Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong ini bukan sahaja berperanan sebagai sebuah tempat beribadat semata-mata, tetapi juga dimanfaatkan untuk pelbagai program dan aktiviti bagi memperkukuh hubungan antara penduduk dan masyarakat serta tumpuan bagi acara-acara keraian dan sambutan hari-hari kebesaran Islam dan negara.

Berdiri megah sebagai salah satu mercu tanda keagamaan di Daerah Tutong, pembinaan Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong telah bermula pada 17 April 1966 di atas tanah wakaf yang disumbangkan oleh Allahyarham Awang Abd Latif bin Khattab dan Allahyarham Awang Mohd. Daud bin Bujang.

Dibina dengan kos perbelanjaan sebanyak B$700,000.00, masjid ini adalah khusus bagi menampung seramai 1,000 orang jemaah, sekali gus menjadi salah sebuah tempat ibadah utama bagi masyarakat Islam di Daerah Tutong.