Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MUNAJAT KHAS ANJURAN KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA KALI KE-247  SEMPENA SAMBUTAN SEMARAK JUBLI PLATINUM 70 TAHUN PENDIDIKAN UGAMA FORMAL, JABATAN PENGAJIAN ISLAM

19 September 2026

MUNAJAT KHAS ANJURAN KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA KALI KE-247 SEMPENA SAMBUTAN SEMARAK JUBLI PLATINUM 70 TAHUN PENDIDIKAN UGAMA FORMAL, JABATAN PENGAJIAN ISLAM

Negara Brunei Darussalam, Sabtu, 08 Rabiulakhir 1448 bersamaan 19 September 2026Bersempena Sambutan Semarak Jubli Platinum 70 Tahun Pendidikan Ugama Formal di Negara Brunei Darussalam, kita mensyukuri nikmat pendidikan ugama yang telah berkembang sejak penubuhan sekolah ugama pada 16 September 1956 dengan matlamat untuk membentuk manusia yang beriman, berilmu, beramal, dan berakhlak mulia. Tujuh puluh tahun ini bukan sekadar untuk dikenang sebagai sejarah atau angka, tetapi menjadi ruang untuk bermuhasabah sama ada pendidikan ugama telah mendekatkan kita kepada Allah, memperbaiki ibadah, memperelok akhlak serta menjadikan kita insan yang lebih amanah, jujur dan bertanggungjawab. Pendidikan ugama bukan sekadar proses menyampaikan ilmu, tetapi proses membentuk manusia melalui ilmu Tauhid, Fiqh, Al-Quran, Sirah Rasulullah SAW dan pendidikan akhlak yang kesannya perlu terlihat dalam kehidupan seharian, sama ada di rumah, di tempat kerja mahupun dalam masyarakat. Nikmat ini juga merupakan suatu amanah yang diwarisi daripada para pemerintah, ulama, guru, pentadbir dan ibu bapa yang telah berusaha membangunkan pendidikan ugama sehingga terbentuk sebuah legasi. Legasi sebenar pendidikan bukanlah bangunan atau sistem semata-mata, tetapi manusia yang berjaya dibentuk dengan iman, ilmu dan akhlak yang kukuh. Dengan cabaran yang dihadapi generasi hari ini, pendidikan ugama bukan sahaja perlu memastikan anak-anak kita mengetahui ugama, tetapi juga mempunyai kekuatan untuk berpegang kepada ugama. Oleh itu, keputusan yang kita buat, ilmu yang kita ajarkan, nilai yang kita tanam dan anak-anak yang kita didik hari ini, semuanya boleh memberikan kesan kepada masa hadapan dan itulah amanah membina generasi.

Demikian antara inti pati Tazkirah bertajuk Tujuh Dekad Pendidikan Ugama: Mensyukuri Nikmat, Meneruskan Amanah yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Haji Mohammad Ashanul Azmi bin Haji Sarbini, Pemangku Penolong Pengarah (Institusi Pengajian), Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama bagi menyerikan Munajat Khas anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama Kali Ke-247 Sempena Sambutan Semarak Jubli Platinum 70 Tahun Pendidikan Ugama Formal, Jabatan Pengajian Islam pada malam tadi.

Menyemarakkan Program Munajat Khas minggu ini ialah para pegawai dan kakitangan Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama termasuk Pejabat Pengajian Islam Daerah Tutong, Pejabat Pengajian Islam Daerah Belait, dan Pejabat Pengajian Islam Daerah Temburong; serta beberapa buah masjid dan surau di seluruh negara. Turut menyertai, warga kerja Kementerian Hal Ehwal Ugama dan individu yang mengikuti program ini secara maya dari kediaman masing-masing.

Atur cara Munajat malam tadi dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Mulia Pengiran Mohamad Aminuddin bin Pengiran Haji Hussin, Pemangku Penolong Pengarah (Profesional), Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama yang bersiaran dari Surau Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Majlis diteruskan dengan bacaan Surah Al-Mulk beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Pengiran Haji Asri Sukaimi bin Pengiran Haji Piut, Pegawai Pelajaran, Pejabat Pengajian Islam Daerah Tutong, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama. Seterusnya, Doa Munajat dibacakan oleh Yang Mulia Awang Azman bin Haji Jaya, Ketua Bahagian Peperiksaan, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan diikuti dengan bacaan Doa Memohon Dikurniakan Hujan Sebab Dilanda Jerebu oleh Yang Mulia Awang Haji Suherdey bin Serbini, Pemangku Ketua Bahagian Pendidikan Khas Ugama, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Sejurus selesai Tazkirah, acara disusuli dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah dipimpin oleh Yang Mulia Pengiran Adiyura bin Pengiran Haji Mohammad, Penolong Pegawai Pengajian Islam Daerah Belait, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama. Kemudiannya, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Yang Mulia Awang Rozimin bin Haji Abd Rahim, Pegawai Pengajian Islam Daerah Temburong, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Program Malam Munajat bertujuan mengajak masyarakat Islam mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala melalui amalan kerohanian, memohon keampunan, membaca dan menghayati ayat-ayat suci Al-Quran, serta merafakkan dan mengaminkan doa secara beramai-ramai dengan penuh pengharapan agar Negara Brunei Darussalam beserta seluruh rakyat dan penduduknya sentiasa terpelihara daripada sebarang musibah dan penyakit berjangkit. Semoga segala amalan kerohanian dan doa munajat yang kita panjatkan serta aminkan diterima dan dimakbulkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala.

Orang ramai dialu-alukan untuk ikut serta dalam acara Malam Munajat yang diadakan secara maya melalui pautan berikut: http://tiny.cc/munajatkheu.​