Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS MEMBACA SURAH YASIN DAN TAHLIL  SEMPENA SAMBUTAN HARI GURU KALI KE-36

19 September 2026

MAJLIS MEMBACA SURAH YASIN DAN TAHLIL SEMPENA SAMBUTAN HARI GURU KALI KE-36

MAJLIS MEMBACA SURAH YASIN DAN TAHLIL BAGIAL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN,AL-MARHUMAH DULI RAJA ISTERI PENGIRAN ANAK DAMITDAN AL-MARHUM DULI YANG TERAMAT MULIA PADUKA SERIPENGIRAN MUDA HAJI 'ABDUL 'AZIMSEMPENA SAMBUTAN HARI GURU KALI KE-36

 

Bandar Seri Begawan, Sabtu, 07 Rabiulakhir 1448 bersamaan 19 September 2026–Dalam usaha menyemarakkan lagi Sambutan Hari Guru Kali Ke-36, Tahun 2026 bagi Negara Brunei Darussalam, serta memohon keberkatan dan rahmat Allah Subhanahu Wa Ta'ala atas majlis yang diadakan, di samping mengenang jasa dan mendoakan para guru yang telah kembali ke rahmatullah, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Kementerian Pendidikan pada petang tadi mengadakan Majlis Membaca Surah Yasin dan Tahlil khusus bagi Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien ibni Al-Marhum Sultan Muhammad Jamalul Alam; Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit binti Al-Marhum Pengiran Bendahara Pengiran Anak Abdul Rahman; serta Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji 'Abdul 'Azim ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Majlis tersebut diadakan di Kubah Makam Diraja, Jalan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Bandar Seri Begawan, bersempena dengan Sambutan Hari Guru Kali Ke-36, Tahun 2026.

Hadir sama di majlis petang tadi ialah Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Menteri Hal Ehwal Ugama dan Yang Mulia Dato Seri Paduka Dr. Awang Haji Norarfan bin Haji Zainal, Pemangku Menteri Pendidikan.   

Turut hadir ialah Yang Mulia Dr. Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Dr. Haji Azman bin Ahmad, Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) Kementerian Pendidikan; Naib Canselor Universiti Brunei Darussalam; Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali; Ra'es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan; Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap; Ketua-ketua Jabatan serta para pegawai kanan Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Kementerian Pendidikan. 

Acara turut disertai oleh para pegawai, guru-guru serta pelajar-pelajar dari institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama. 

Bacaan Surah Yasin beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Awang Haji Abdullah bin Haji Sahat, Nazir Khas, Jabatan Pengajian Islam, diikuti dengan bacaan Tahlil dan Doa Arwah. Majlis kemudiannya diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.

Tema bagi Majlis Sambutan Hari Guru Kali Ke-36, Tahun 2026 ialah 'Guru Pemangkin Pendidikan Lestari dan Inovasi'.​