Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

PROGRAM PERTUKARAN BUDAYA DAN PENDIDIKAN (AT-TAU'AMAH) ANTARA SEKOLAH-SEKOLAH NEGARA BRUNEI DARUSSALAM DAN KESULTANAN OMAN BAGI TAHUN 1447-1448H/2026M

15 September 2026

PROGRAM PERTUKARAN BUDAYA DAN PENDIDIKAN (AT-TAU'AMAH) ANTARA SEKOLAH-SEKOLAH NEGARA BRUNEI DARUSSALAM DAN KESULTANAN OMAN BAGI TAHUN 1447-1448H/2026M

Bandar Seri Begawan, Selasa, 03 Rabiulakhir 1448 bersamaan 15 September 2026–Hubungan dua hala antara Negara Brunei Darussalam dan Kesultanan Oman, khususnya dalam bidang pendidikan dan warisan budaya, terus diperkasa melalui penglibatan pelajar dalam Program Pertukaran Budaya dan Pendidikan (At-Tau'amah) antara Sekolah-Sekolah Negara Brunei Darussalam dan Kesultanan Oman Tahun 1447-1448H/2026M. Program berkenaan menjadi wadah bagi para pelajar berkongsi ilmu, budaya dan pengalaman bersama rakan sebaya dari kedua-dua negara, di samping memperkasa penguasaan komunikasi Bahasa Arab.   

Program kendalian Unit Ta'zeez Al-Luhgah Al-'Arabiah, Bahagian Sekolah Arab, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Kesultanan Oman berkenaan melibatkan lapan buah sekolah, masing-masing empat dari Negara Brunei Darussalam dan empat dari Kesultanan Oman. Penganjuran tahun ini merupakan kali ketiga sejak mula diperkenalkan pada tahun 2021. 

Program yang dilaksanakan secara dalam talian pada petang tadi dihadiri oleh Yang Mulia Dr. Younis bin Jamil Al-Naamani, Pengarah, Jabatan Warisan dan Hal Ehwal Kebudayaan, Kesultanan Oman selaku Tetamu Kehormat program. 

Acara dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Mulia Dr Mahmoud Abdullah Al Abri, Setiausaha Agung, Suruhanjaya Kebangsaan Oman untuk Pendidikan, Kebudayaan dan Sains, Kesultanan Oman. Turut memberikan ucapan ialah Yang Mulia Dr Hajah Norasimah binti Haji Talip, Ketua Unit Ta'zeez AlLuhgah Al-'Arabiah, Bahagian Sekolah Arab, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, selaku Penyelaras Program At-Tau'amah bagi Negara Brunei Darussalam. Program diteruskan dengan pembentangan pengenalan program daripada Kesultanan Oman, perkongsian pengalaman daripada peserta program terdahulu dan diakhiri dengan sesi bergambar ramai.  

Sebanyak lapan sesi perjumpaan dalam talian telah diaturkan bagi memberi peluang kepada para peserta yang terdiri daripada guru dan para pelajar persekolahan arab untuk mengadakan perbincangan dan pertukaran pandangan mengenai pelbagai tema berkaitan budaya, pendidikan, teknologi, bahasa dan kenegaraan menggunakan Bahasa Arab sebagai medium komunikasi.   

Program ini merupakan antara usaha Jabatan Pengajian Islam dalam memperluas pengalaman pembelajaran pelajar melalui interaksi antarabangsa, di samping memperkasa penguasaan Bahasa Arab dan membina keyakinan berkomunikasi dalam kalangan pelajar. Penganjurannya turut menyumbang kepada pengukuhan kerjasama dua hala antara Negara Brunei Darussalam dan Kesultanan Oman dalam bidang pendidikan dan warisan budaya.   ​

 

​Foto: JPI​