Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

PENYERTAAN PEGAWAI KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA DALAM PROGRAM NEXTGEN 2026 – SIMPOSIUM BELIA ISLAM DAN HARMONY GAMES 2026 DI SINGAPURA

14 September 2026

PENYERTAAN PEGAWAI KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA DALAM PROGRAM NEXTGEN 2026 – SIMPOSIUM BELIA ISLAM DAN HARMONY GAMES 2026 DI SINGAPURA

Singapura, Isnin, 02 Rabiulakhir 1448 bersamaan 14 September 2026–Seramai tiga orang pegawai daripada Kementerian Hal Ehwal Ugama menyertai Program NextGen 2026 – Simposium Belia Islam dan Harmony Games 2026 yang diadakan pada 11 hingga 14 September 2026 di Singapura. Delegasi Negara Brunei Darussalam terdiri daripada tiga orang pegawai iaitu Yang Mulia Awang Muhamad Abdul Haziq bin Hanafi, Pegawai Perkembangan Ugama, Bahagian Media (Multimedia), Pusat Da’wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Dr. Norhazerah binti Baha, Pegawai Perkembangan Ugama, Bahagian Kajian dan Penerbitan (Kajian Ilmiah), Pusat Da’wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama; dan Yang Mulia Dayang Siti Musfirah binti Misli, Pegawai Pelajaran Ugama, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan.

Program ini dianjurkan oleh Majlis Ugama Islam Singapura dan merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan dalam membangun generasi belia Muslim yang berilmu, beramal dan berdaya saing, selaras dengan semangat Rancangan Strategik MABIMS dalam memperkasakan potensi belia Islam serantau.

Program NextGen 2026 merangkumi dua pengisian utama iaitu Simposium Belia Islam dan Harmony Games 2026. Simposium Belia Islam yang berlangsung pada 12 September 2026 di Sands Expo and Convention Centre mengetengahkan pelbagai sesi berkaitan pembangunan kerjaya dan keimanan, termasuk sesi ucaptama, dialog, refleksi kerjaya dan keimanan, pelancaran buku panduan Youth Meets Career, perbincangan panel bertajuk Faith in the Field: Integrating Faith and Professional Life serta Career Takeoff Marketplace yang merangkumi pameran kerjaya, bimbingan mentor dan peluang rangkaian.

Dalam simposium tersebut, para peserta turut berkesempatan mengikuti sesi ucaptama yang disampaikan oleh Yang Mulia Ustaz Fathurrahman Haji M Dawoed, Pengerusi AMP dan Ahli Jawatankuasa Fatwa, serta sesi perbincangan panel yang menampilkan para profesional Muslim muda, termasuk Yang Mulia Dr Ashraf Yusoff.

Sementara itu, Harmony Games 2026 yang berlangsung pada 13 September 2026 di Community Auditorium, One Tampines Hub, mengetengahkan aktiviti sukan, kesihatan dan kemasyarakatan. Acara tersebut merupakan acara sukan komuniti anjuran bersama Majlis Ugama Islam Singapura dan Singapore Taoist Federation yang mengetengahkan nilai-nilai ukhuwah, keharmonian dan semangat rahmatan lil ‘alamin yang menjadi teras MABIMS. Para peserta juga berkesempatan berinteraksi bersama Yang Berhormat Mr David Neo, Minister for Community, Culture and Youth, serta para wakil komuniti yang hadir pada acara tersebut.

Penyertaan pegawai-pegawai Kementerian Hal Ehwal Ugama dalam program ini memberikan peluang untuk menimba pengalaman dan berkongsi pandangan berkaitan pembangunan belia, pengukuhan nilai keimanan dan kehidupan profesional, di samping memperluaskan jaringan kerjasama dalam kalangan negara-negara anggota MABIMS.

Penyertaan ini turut diselaraskan oleh Sekretariat MABIMS Negara Brunei Darussalam sebagai sebahagian daripada peranan Sekretariat dalam menyokong dan menyelaras penyertaan Negara Brunei Darussalam dalam program-program di bawah kerangka Rancangan Strategik MABIMS.