Negara Brunei Darussalam, Hari Sabtu, 01 Rabiulakhir 1448 bersamaan 12 September 2026–Bila kita menyebut Rasulullah SAW suluh aqidah, sebenarnya kita sedang bercakap tentang seorang insan yang membawa manusia daripada kegelapan kepada cahaya, daripada kesesatan kepada petunjuk, dan daripada menyembah berhala kepada menyembah Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Baginda merupakan qudwah, iaitu contoh ikutan atau tauladan dalam kehidupan. Cinta kepada Rasulullah SAW sepatutnya membawa kita kepada satu tahap yang lebih tinggi iaitu mengikuti ajaran dan Sunnah Baginda dalam kehidupan. Pertama, penghayatan bermula dengan mengenali Rasulullah SAW. Kita mesti dan wajib mengenali Baginda melalui sirah, akhlak, perjuangan dan Sunnah Baginda sebagai asas kepada penghayatan. Kedua, penghayatan diterjemahkan kepada pengamalan. Adakah akhlak Rasulullah SAW sudah terlihat dalam kehidupan kita? Ketiga, membawa suluh aqidah Rasulullah SAW dalam kehidupan seharian. Kita tidak boleh hanya mengenang Baginda dalam bulan Rabiulawal sahaja, tetapi kenalilah Baginda sepanjang hayat dengan menghidupkan Sunnah Baginda dan menerapkan akhlak Baginda dalam diri kita. Kerana Bagindalah suluh aqidah yang menerangi hati dan membimbing akhlak kita.
Demikian antara inti pati Tazkirah bertajuk Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam Suluh Aqidah: Dari Penghayatan kepada Pengamalan yang disampaikan oleh Yang Mulia Dayang Siti Ramziah binti Haji Mohamad Ramli, Penolong Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da’wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama bagi menyerikan Malam Munajat Khas untuk Wanita Ke-41 anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama Kali Ke-246 pada malam tadi.
Menyemarakkan Program Malam Munajat minggu ini ialah para muslimah dan jemaah Masjid Kampung Bengkurong, Daerah Brunei dan Muara. Turut menyertai ialah muslimah dan jemaah dari beberapa buah masjid seluruh negara serta warga kerja wanita di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama dan individu yang mengikuti program ini secara maya dari kediaman masing-masing.
Atur cara Munajat malam tadi dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Mulia Dayang Hajah Norhidayah binti Haji Daud, Muslimah Masjid Kampung Bengkurong.
Diikuti dengan bacaan Surah As-Sajdah beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Dayang Hajah Asmah binti Haji Sulaiman, Ketua Muslimah Masjid Kampung Bengkurong. Seterusnya, Doa Munajat dibacakan oleh Yang Mulia Dayang Aimi Amalina binti Haji Abdullah, Tenaga Pembimbing Kelas Muslimah Masjid Kampung Bengkurong.
Sejurus selesai Tazkirah, disusuli dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Dayang Hajah Suritti binti Haji Sabli, Muslimah Masjid Kampung Bengkurong.
Kemudiannya, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Yang Mulia Dayang Hajah Norhidayah binti Haji Daud, Muslimah Masjid Kampung Bengkurong.
Program Malam Munajat bertujuan mengajak masyarakat Islam mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala melalui amalan kerohanian, memohon keampunan, membaca dan menghayati ayat-ayat suci Al-Quran, serta merafakkan dan mengaminkan doa secara beramai-ramai dengan penuh pengharapan agar Negara Brunei Darussalam beserta seluruh rakyat dan penduduknya sentiasa terpelihara daripada sebarang musibah dan penyakit berjangkit. Semoga segala amalan kerohanian dan doa munajat yang kita panjatkan serta aminkan diterima dan dimakbulkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala.
Orang ramai dialu-alukan untuk ikut serta dalam acara Malam Munajat yang diadakan secara maya melalui pautan berikut: http://tiny.cc/munajatkheuwanita.
