Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MASJIDKU MAKMUR, NEGARA BERKAT

11 September 2026

MASJIDKU MAKMUR, NEGARA BERKAT

Bandar Seri Begawan, Jumaat, 29 Rabiulawal 1448 bersamaan 11 September 2026–Kepentingan menjaga aqidah bagi masyarakat Islam adalah suatu perkara yang utama, iaitu dengan mengikuti dan mematuhi segala ajaran yang disampaikan oleh Baginda Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam.  Perjuangan Baginda Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam dalam menegakkan aqidah yang benar, iaitu beriman kepada Allah Yang Maha Esa, telah melalui pelbagai halangan dan rintangan. Namun, berbekalkan iman, takwa, kesabaran serta keyakinan yang teguh, agama Islam akhirnya berkembang dan terus tersebar sehingga ke hari ini.  Oleh itu, marilah kita sama-sama menjaga dan memelihara aqidah agar sentiasa berada di landasan yang benar. Ingatlah bahawa apabila aqidah terpesong atau menyimpang daripada pegangan yang sebenar, seseorang itu boleh terdedah kepada azab Allah Subhanahu Wa Ta‘ala yang amat pedih. Justeru, kita hendaklah sentiasa kembali kepada Allah dengan taubat yang sebenar-benarnya, iaitu taubat nasuha.

Perkara tersebut antara perkara yang disampaikan melalui Tazkirah Subuh bertajuk Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam Suluh Aqidah yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Haji Muskrisman Safari bin Haji Mustapa, Pegawai Perkembangan Ugama, Penolong Ketua Bahagian Pengembangan Da’wah (Pengislaman) Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama bagi menyerikan Program ‘Masjidku Makmur, Negara Berkat’ yang diadakan pada awal pagi tadi di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan.

Program dimulakan dengan Sembahyang Fardhu Subuh berjemaah, diikuti bacaan Wirid serta Tazkirah Subuh.

Program 'Masjidku Makmur, Negara Berkat' diungkayahkan dengan tujuan untuk mengajak umat Islam di negara ini agar memakmurkan masjid melalui amalan beribadah secara berjemaah, pengajian ilmu dan pelaksanaan aktiviti keagamaan.

Di samping membentuk masyarakat yang berdisiplin, bertanggungjawab serta saling menghormati, program ini juga berperanan menanam rasa cinta terhadap masjid sebagai rumah Allah. Selain itu, untuk memupuk semangat Negara Zikir dan Negara Berkat melalui penghayatan ajaran Islam dalam kehidupan seharian, sekali gus menyumbang kepada kesejahteraan dan kemakmuran negara berasaskan nilai-nilai Islam.

 

Foto: JHEM