MAJLIS MEMBACA SURAH YASIN DAN TAHLIL BAGI AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, AL-MARHUMAH DULI RAJA ISTERI PENGIRAN ANAK DAMIT SERTA AL-MARHUM DULI YANG TERAMAT MULIA PADUKA SERI PENGIRAN MUDA HAJI ‘ABDUL ‘AZIM SEMPENA SAMBUTAN SEMARAK JUBLI PLATINUM 70 TAHUN PENDIDIKAN UGAMA FORMAL NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
Bandar Seri Begawan, Khamis, 28 Rabiulawal 1448 bersamaan 10 September 2026–Sambutan Semarak Jubli Platinum 70 Tahun Pendidikan Ugama Formal tahun ini menjadi wadah untuk memperingati sejarah dan perkembangan pendidikan ugama formal di Negara Brunei Darussalam yang bermula pada tahun 1956 dengan penubuhan sekolah-sekolah ugama. Dalam tempoh tujuh dekad, pendidikan ugama formal terus berkembang dan menjadi antara tunjang penting dalam membentuk generasi yang berilmu, berakhlak dan berpegang teguh kepada ajaran Islam.
Sehubungan dengan itu, bersempena Sambutan Semarak Jubli Platinum 70 Tahun Pendidikan Ugama Formal, Kementerian Hal Ehwal Ugama pada petang tadi mengadakan Majlis Membaca Surah Yasin dan Tahlil khusus bagi Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien ibni Al-Marhum Sultan Muhammad Jamalul Alam; Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit binti Al-Marhum Pengiran Bendahara Pengiran Anak Abdul Rahman; serta Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji ‘Abdul ‘Azim ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Majlis diadakan di Kubah Makam Diraja, Jalan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Bandar Seri Begawan.
Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Menteri Hal Ehwal Ugama.
Turut hadir ialah Yang Mulia Dr. Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Dr. Haji Arman bin Haji Asmad, Ra’es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan; Yang Mulia Awang Haji Shamshol bin Haji Omar, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) Kementerian Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahuddin, Pemangku Setiausaha Majlis Ugama Islam Brunei serta pegawai-pegawai kanan Kementerian Hal Ehwal Ugama. Acara tersebut turut disertai oleh seramai 300 orang pegawai dan guru di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Bacaan Surah Yasin beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Awang Haji Mohammad Hendra bin Haji Meraji, Nazir Khas, Jabatan Pengajian Islam, diikuti dengan bacaan Tahlil dan Doa Arwah oleh Yang Mulia Awang Haji Abdullah bin Haji Sahat, Nazir Khas, Jabatan Pengajian Islam. Majlis kemudiannya diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.
Foto: JPI