Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

SESI BERSELAWAT DAN BACAAN DOA PELIHARAKAN SULTAN DAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM DI BILIK RAMBUT MULIA RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASALLAM, BALAI KHAZANAH ISLAM SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH

08 September 2026

SESI BERSELAWAT DAN BACAAN DOA PELIHARAKAN SULTAN DAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM DI BILIK RAMBUT MULIA RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASALLAM, BALAI KHAZANAH ISLAM SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH

Berakas, Selasa, 26 Rabiulawal 1448 bersamaan 08 September 2026–Sebagai salah satu usaha untuk menyemarakkan bulan Rabiulawal, Kementerian Hal Ehwal Ugama telah mengadakan Sesi Berselawat dan Bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam pada pagi tadi, bertempat di Bilik Rambut Mulia Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam, Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Sesi tersebut memberi peluang kepada pegawai dan kakitangan Kementerian Hal Ehwal Ugama untuk bersama-sama berzikir dan berselawat ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam, di samping memanjatkan doa bagi memohon kesejahteraan, keselamatan dan perlindungan Allah Subhanahu Wa Ta‘ala ke atas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Almarhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam, kerabat diraja, serta rakyat dan Negara Brunei Darussalam.

Seramai enam belas (16) orang pegawai dan kakitangan lelaki dari beberapa jabatan dan bahagian di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama menyertai majlis tersebut. 

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Mulia Awang Abdul Mu'iid bin Hariel, Pegawai Ugama, Jabatan Hal Ehwal Syariah.

Acara diteruskan dengan Dikir Syarafil Anam iaitu Assalamualaika yang dipimpin oleh Yang Mulia Pengiran Rafiuddin bin Pengiran Haji Badaruddin, Pusat Da'wah Islamiah. Diikuti dengan Dikir Asyraqal. 

Bagi memberkati majlis Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam yang dipimpin oleh Yang Mulia Pengiran Khairul Nazri bin Pengiran Haji Shahbudin, Pegawai Perundangan Syariah, Jabatan Perundangan Islam.

 

Foto: JP