Bandar Seri Begawan, Rabu, 27 Rabiulawal 1448 bersamaan 09 September 2026–Sebagai tanda kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala serta bagi meraikan kejayaan graduan-graduan yang telah berjaya menamatkan pengajian bagi Sesi Pengajian 2023–2026, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah pada pagi tadi mengadakan Majlis Doa Kesyukuran sempena Haflut Takharruj Kali Keempat Belas, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Majlis tersebut diadakan di Cesar Grand Hall, Tingkat 8, Mulia Hotel, Kampung Anggerek Desa.
Hadir selaku Tetamu Kehormat pada majlis tersebut ialah Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Menteri Hal Ehwal Ugama, selaku Pengerusi Lembaga Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Haflut Takharruj Kali Keempat Belas, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah Tahun 1448H/2026M.
Turut hadir ialah Yang Mulia Dr. Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Awang Haji Shamshol bin Haji Omar, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) Kementerian Hal Ehwal Ugama; jemputan-jemputan khas; Pemangku Pengetua; Timbalan-timbalan Pemangku Pengetua; pensyarah-pensyarah; pegawai-pegawai; guru-guru; serta graduan-graduan yang diraikan.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Mulia Dr. Sheikh Haji Muti’a Al-Kabbani Mahmoud, Pensyarah Diploma ‘Aliyah Qiraat, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Yang Mulia Pengiran Dr. Haji Amiruddin bin Pengiran Haji Damit, Pengetua Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, selaku Pengerusi Majlis Haflut Takharruj Kali Keempat Belas, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Acara seterusnya ialah penyerahan buku bertajuk Bacaan Al-Quran dengan Qiraat 10 Berserta Pengenalan Imam-imam Qiraat, Edisi Surah Al-Fatihah, yang merupakan sumbangan graduan Diploma Tertinggi ‘Aliyah Qiraat, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah Kali Keempat Belas, kepada Tetamu Kehormat majlis.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan Penyampaian Anugerah Cemerlang Diploma Tertinggi ‘Aliyah Qiraat, diikuti dengan Penyampaian Sijil Penghargaan kepada para penaja Haflut Takharruj Kali Keempat Belas, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Kesyukuran oleh Yang Mulia Dr. Sheikh Haji Muti’a Al-Kabbani Mahmoud, Pensyarah Diploma ‘Aliyah Qiraat, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.








Foto: ITQSHHB