Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

PROGRAM ILTIZAM MENANAI AMANAH SIRI 2: MINDA SEJAHTERA, JATI DIRI TERPELIHARA  BERSAMA PELAJAR-PELAJAR BAHARU DAN SEDANG DALAM PENGAJIAN DI LUAR NEGARA SESI 2026M

09 September 2026

PROGRAM ILTIZAM MENANAI AMANAH SIRI 2: MINDA SEJAHTERA, JATI DIRI TERPELIHARA BERSAMA PELAJAR-PELAJAR BAHARU DAN SEDANG DALAM PENGAJIAN DI LUAR NEGARA SESI 2026M

Bandar Seri Begawan, Rabu, 27 Rabiulawal 1448 bersamaan 09 September 2026–Para pelajar yang melanjutkan pengajian ke luar negara akan berhadapan dengan pelbagai cabaran, antaranya perbezaan sistem pembelajaran, kejutan budaya, cabaran bahasa dan komunikasi serta keperluan untuk berdikari dalam menguruskan kehidupan harian. Selain itu, mereka turut berdepan dengan tekanan emosi seperti kerinduan terhadap keluarga, di samping pengaruh sosial yang berbeza yang boleh menguji jati diri serta pegangan akidah. 

Penghayatan falsafah Melayu Islam Beraja (MIB) terus menjadi asas penting dalam memastikan para pelajar berpegang teguh kepada nilai-nilai ugama dan kebangsaan, di samping memainkan peranan sebagai duta kecil Negara Brunei Darussalam di persada antarabangsa. 

Sehubungan itu, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama pada pagi tadi mengadakan Program Iltizam Menanai Amanah Siri 2 berbentuk Podcast Ilmiah bertajuk “Minda Sejahtera, Jati Diri Terpelihara” bersama pelajar-pelajar baharu dan yang sedang mengikuti pengajian di luar negara. Program tersebut diadakan secara fizikal di Dewan Kuliah Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan turut disertai secara maya oleh pelajar-pelajar di bawah Biasiswa Kementerian Hal Ehwal Ugama yang sedang mengikuti pengajian di luar negara. 

Hadir selaku Tetamu Kehormat ialah Yang Mulia Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahuddin, Pemangku Setiausaha Majlis Ugama Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama. 

Program merupakan salah satu wadah bagi perkongsian ilmu dan pengalaman dalam menghadapi cabaran sepanjang mengikuti pengajian di luar negara, di samping memperkukuh penghayatan nilai Melayu Islam Beraja dalam kalangan pelajar Negara Brunei Darussalam yang melanjutkan pengajian di luar negara, termasuk di Republik Arab Mesir, Kerajaan Hasyimiyah Jordan, United Kingdom dan Malaysia. 

Program diisikan dengan sesi podcast yang menampilkan tiga orang ahli panel, iaitu Yang Mulia Dr. Siti Salwana Syarfa binti Haji Dahlan, Pegawai Tugas-Tugas Khas Tingkat II, Pejabat Sekretariat Majlis Tertinggi Melayu Islam Beraja, Kementerian Pendidikan; Yang Mulia Dayang Fauziyyah Hanani binti Haji Abdul Manap, Pegawai Psikologi Awam, Kementerian Kesihatan; dan Yang Mulia Dayang Alya Farhanah binti Dato Seri Paduka Dr. Haji Norarfan, Wakil Pelajar Alumni dari Mesir dan United Kingdom. Sesi tersebut dikendalikan oleh Yang Mulia Awang Haji Mohammad Jaya bin Haji Metussin selaku moderator. 

Program berkenaan dikendalikan bersama oleh Unit Biasiswa, Bahagian Pembangunan Sumber Tenaga Manusia dan Biasiswa, dengan Unit ICT dan Teknologi, Bahagian Penyelidikan, Perancangan dan Perkembangan, Jabatan Pengajian Islam.


Foto: JPI