Kiarong, Khamis, 22 Rabiulawal 1448 bersamaan 03 September 2026–Bagi memberi peluang kepada para muslimah untuk lebih memahami keperibadian junjungan besar Nabi Muhammad Shallallahu Alaihi Wasallam serta menjadikan Baginda sebagai contoh teladan dalam kehidupan, Bahagian Hal Ehwal Muslimah, Jabatan Hal Ehwal Masjid, dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Takmir Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kiarong, telah mengadakan Program Ceramah Khas Sempena Sambutan Maulidur Rasul yang disampaikan oleh penceramah jemputan dari Malaysia, Yang Mulia Ustazah Asma’ Harun. Program tersebut diadakan di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kiarong.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan ialah Yang Mulia Datin Norazimah binti Haji Ramlee, isteri kepada Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama.
Program ini juga dihasratkan dapat menyemai serta menyuburkan rasa cinta dan kasih kepada Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam, di samping mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan para muslimah.
Dengan adanya program seumpama ini, diharapkan para muslimah akan dapat memperoleh manfaat serta menambah ilmu pengetahuan mengenai keperibadian Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam. Seterusnya, para muslimah diharap dapat berusaha untuk mengikuti jejak langkah dan mengamalkan sunnah Baginda dalam kehidupan seharian.
Foto: JHEM