Tutong, Khamis 21 Rabiulawal 1448 bersamaan 03 September 2026-Bagi memperingati kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam serta meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menzahirkan rasa cinta, kasih dan penghargaan terhadap perjuangan Baginda di samping mendedahkan ajaran agama Islam, Cawangan Da’wah Daerah Tutong, Pusat Da’wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama menganjurkan Majlis Malam Mencintai Rasul sempena Maulud Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi malam tadi.
Majlis tersebut diadakan bersama para Muallaf dan masyarakat bukan Islam (Non-Muslim) bertempat di Dewan Kediaman Rasmi Pegawai Daerah Tutong.
Hadir selaku Tetamu Kehormat ialah Yang Mulia Awang Haji Mohammad Sofian bin Haji Basri, Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Jabatan Daerah Tutong, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.
Turut hadir bersama ialah Yang Mulia Awang Isham bin Awang Ismail, Pemangku Penolong Pengarah Pusat Da’wah Islamiah; Yang Mulia Dayang Zikrinaidah binti Haji Mat Dikir, Ketua Cawangan Da’wah Daerah Tutong; Yang Mulia Awang Soon Seng Lee, Pengarah Sekolah Chung Hwa Daerah Tutong dan Yang Mulia Awang Johan bin Benson, Yang Di-Pertua Pakatan Sang Jati Dusun Daerah Tutong.
Hadir sama ialah Ketua-ketua Kampung Daerah Tutong, para pegawai dan kakitangan Pusat Da’wah Islamiah dan Cawangan Da’wah Daerah Tutong, para peserta Skim Bimbingan Lanjutan II Siri Ke-43 (Lelaki) dan Siri Ke-44 (Perempuan), serta para Muallaf dan masyarakat bukan Islam (Non-Islam) dari Daerah Tutong. Majlis dimulakan dengan Sembahyang Fardhu Maghrib berjemaah, diikuti bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Tetamu Kehormat.
Acara diteruskan dengan Tazkirah Pendek yang bertajuk Tak Kenal Maka Tak Cinta, yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Muhammad Salihan bin Haji Samra, Penolong Pegawai Perkembangan Ugama, Cawangan Da’wah Daerah Tutong. Dalam tazkirah tersebut, beliau antara lain menjelaskan bahawa seseorang tidak akan mampu mencintai insan yang tidak dikenalinya, sebagaimana pepatah “tak kenal maka tak cinta”. Menurut beliau, salah satu cara untuk mengenali junjungan kita adalah dengan membaca sirah Baginda yang terkandung di dalam riwayat-riwayat hadits.
Semakin kita mengenali Rasulullah melalui sirah dan hadits, semakin hati kita akan mencintai Baginda. Oleh itu, umat islam digalakkan untuk meluangkan masa membaca atau mendengar kisah kehidupan Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam. Majlis turut diserikan dengan persembahan Maulid Dhiyaul Lami’ yang dipimpin oleh Kumpulan Babussalam. Majlis diteruskan lagi dengan Bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dan kemudiannya diakhiri dengan Sembahyang Fardhu Isya’ berjemaah, diikuti dengan sesi bergambar ramai.
Penganjuran majlis tersebut antara lain bertujuan untuk memperingati kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam, meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menzahirkan rasa cinta, kasih dan penghargaan terhadap perjuangan Baginda, di samping memperkenalkan ajaran agama Islam kepada para muallaf dan masyarakat bukan Islam.
Selain itu, majlis berkenaan turut dihasratkan untuk mengukuhkan hubungan harmoni antara masyarakat Muslim dan bukan Islam, serta menyemai rasa cinta kepada Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam, dalam kalangan para muallaf agar dapat menghayati dan mengamalkan Sunnah Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam dalam kehidupan seharian.




Foto: PDI