Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

LATIHAN PENUH  MAJLIS PERHIMPUNAN KHAS WANITA PERINGKAT NEGARA SEMPENA SAMBUTAN MAULUD NABI MUHAMMAD SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASALLAM TAHUN 1448 HIJRAH

02 September 2026

LATIHAN PENUH MAJLIS PERHIMPUNAN KHAS WANITA PERINGKAT NEGARA SEMPENA SAMBUTAN MAULUD NABI MUHAMMAD SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASALLAM TAHUN 1448 HIJRAH

Jerudong, Rabu, 20 Rabiulawal 1448 bersamaan 02 September 2026-Majlis Perhimpunan Khas Wanita Peringkat Negara Sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam Tahun 1448 Hijrah akan diadakan pada hari Khamis, 21 Rabiulawal 1448 Hijrah bersamaan 03 September 2026 Masihi bertempat di Dewan Royal Berkshire, Jerudong mulai pukul 9.00 pagi.

Antara pengisian majlis ialah persembahan bacaan ayat-ayat suci Al-Qur’an dan Tadabbur, Dikir Marhaban, ceramah khas dan persembahan selawat.

Bagi memastikan segala persiapan majlis teratur dan berjalan lancar, petang tadi diadakan latihan penuh bertempat di Dewan Royal Berkshire, Jerudong.

Hadir bagi menyaksikan latihan tersebut ialah Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Majlis Sambutan Hari-Hari Kebesaran Islam Peringkat Negara dan Musabaqah Membaca Al-Qu’ran Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1448 Hijrah;  Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof, Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II;  Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang  Haji Sufian bin Haji Sabtu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang);  Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Awang Haji Mohammed Yunos, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi selaku Pemangku Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri;  serta Ahli Jawatankuasa Tertinggi yang lain.

Turut hadir, Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap dari Pengendali-Pengendali Bersama serta Ahli-Ahli Jawatankuasa Tertinggi yang lain.

Tema bagi Majlis Perhimpunan Khas Wanita Sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam Tahun 1448 Hijrah ialah ‘Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam Suluh Aqidah’.

Majlis pada tahun ini dikendalikan bersama oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama; Jabatan Perdana Menteri; Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri; Dewan Perusahaan dan Perniagaan Melayu Brunei; dan Majlis Wanita Negara Brunei Darussalam.


Foto: BPAAM