Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

PROGRAM KEMBARA DA’WAH DAN UMRAH BELIA DA’IE 2026

01 September 2026

PROGRAM KEMBARA DA’WAH DAN UMRAH BELIA DA’IE 2026

Berakas, Selasa, 19 Rabiulawal 1448 bersamaan 01 September 2026-Badan Sukarelawan Belia Da’ie dengan sokongan Urus Setia Program Keugamaan Belia, Pusat Da’wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama telah mengadakan Kembara Da’wah dan Umrah Belia Da’ie 2026 selama 15 hari 13 malam bermula 1 hingga 15 September 2026, dengan memulakan perjalanan ke Kuala Lumpur, Malaysia dan seterusnya menuju Taif, Makkah Al-Mukarramah dan berakhir di Madinah Al-Munawwarah.

Program ini dianjurkan buat julung kalinya pada tahun 2026 bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Penubuhan Ke-10 Badan Sukarelawan Belia Da’ie. Program ini disertai oleh seramai 29 orang jemaah yang terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Badan Sukarelawan Belia Da’ie berserta keluarga, alumni Akademi Da’wah serta orang awam yang berminat menyertai program berkenaan. Program ini turut disertai oleh ketua rombongan iaitu Yang Mulia Dayang Nooranizah binti Haji Tamin, wakil Urus Setia Program Keugamaan Belia, Pusat Da’wah Islamiah, serta beberapa orang asatizah belia iaitu Yang Mulia Awang Muhammad Yussof bin Haji Abdul Majid selaku Mutawif Kembara, dan Yang Mulia Dayang Siti Hurul-Ain Diyana binti Haji Abdul Majid @ Vieana selaku Pengerusi Program.

Kembara ini dirangka sebagai wadah mengukuhkan iman, mempertingkatkan penghayatan ibadah, mengeratkan ukhuwah dan membina semangat da’wah melalui penghayatan sirah Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam secara lebih dekat di bumi Makkah dan Madinah.

Para peserta program bertolak ke Kuala Lumpur, Malaysia pada petang tadi melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei dan meneruskan perjalanan ke Makkah al-Mukarramah. Sebelum memulakan perjalanan, taklimat ringkas dan Doa Selamat juga turut diadakan, diikuti dengan Solat Sunat Hajat di surau perlepasan.

Sepanjang kembara, para peserta akan menziarahi beberapa lokasi utama, termasuk meliputi perjalanan ke Kota Taif, kemudian ke Makkah Al-Mukarramah bagi melaksanakan ibadah umrah serta menziarahi tempat-tempat bersejarah termasuk kawasan Manasik Haji, Gua Hira, Hudaibiyah dan lokasi-lokasi lain. Selain aktiviti ibadah persendirian, penghayatan sirah serta pelaksanaan khidmat masyarakat berbentuk

Infaq Sabil turut menjadi antara aktiviti kemuncak sepanjang kembara. Inisiatif tersebut menyasarkan pengagihan makan minum kepada golongan fakir miskin di Makkah sebanyak 200 orang, dengan kebenaran daripada pihak Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.

Rombongan kemudiannya akan bergerak ke Madinah Al-Munawwarah pada 9 September 2026 untuk menziarahi makam Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam serta tempat-tempat bersejarah seperti Masjid Quba, Masjid Qiblatain, Jabal Uhud dan kawasan Khandaq. 

Diharapkan Kembara Da’wah ini dapat memberikan pengalaman kerohanian dan da’wah yang bermakna serta menjadi bekalan ruhiyyah kepada para peserta agar dapat pulang dengan iman yang lebih kukuh dan semangat da’wah yang lebih tinggi dalam berkhidmat secara sukarela untuk ugama, masyarakat dan negara. Perkembangan program ini boleh diikuti melalui laman Instagram rasmi Belia Da’ie.

 

Foto: PDI