Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

ZAHIRKAN CINTA DAN RINDU KEPADA BAGINDA  RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASALLAM DENGAN BERSELAWAT

01 September 2026

ZAHIRKAN CINTA DAN RINDU KEPADA BAGINDA RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASALLAM DENGAN BERSELAWAT

Belait, Selasa, 19 Rabiulawal 1448 bersamaan 01 September 2026-Bahagian Hal Ehwal Muslimah, Jabatan Hal Ehwal Masjid, dengan kerjasama Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Belait dan Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Al-Mashor, Kampung Sungai Mau, Daerah Belait mengadakan Majlis Berselawat Sempena Sambutan Ihya Maulidur Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bagi Kelas Bimbingan Muslimah Daerah Belait. Majlis yang membawa tema Zahirkan Cinta dan Rindu Kepada Baginda Rasulullah dengan Berselawat tersebut telah diadakan pada pagi tadi di Masjid Al-Mashor, Kampung Sungai Mau, Daerah Belait.

Majlis ini diadakan bagi memeriahkan lagi Sambutan Maulidur Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam, di samping menzahirkan rasa kasih dan cinta kepada junjungan besar Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam melalui amalan berselawat. Selain itu, program ini juga bertujuan memperkenalkan pelbagai variasi selawat serta menggalakkan para Muslimah menjadikan selawat sebagai zikir dan amalan harian.

Antara tujuan utama majlis diadakan adalah untuk menyahut seruan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir. Di samping itu, majlis ini dihasratkan dapat meningkatkan kecintaan dan kerinduan kepada Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam, menggalakkan penglibatan para Muslimah dalam program-program keagamaan di masjid serta mengeratkan silaturahim dalam kalangan Muslimah dan jemaah masjid.

Hadir pada majlis tersebut ialah pegawai dan kakitangan wanita Jabatan Hal Ehwal Masjid, peserta Kelas Bimbingan Muslimah dari beberapa buah masjid dan balai ibadat, Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid serta jemputan Kelas Bimbingan Muslimah dari Daerah Belait dan Daerah Brunei Muara.

Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan tazkirah, bacaan selawat, Dikir Syarafil Anam serta bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.

Semoga dengan adanya majlis seumpama ini akan dapat menyemarakkan lagi kecintaan para Muslimah terhadap junjungan besar Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam serta mendorong mereka untuk memperbanyakkan bacaan selawat dan menjadikannya sebagai amalan dalam kehidupan seharian.


Foto: JHEM