Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS DOA KESYUKURAN BAGI PENGANUGERAHAN BIASISWA KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA SESI 2026 / 2027

31 August 2026

MAJLIS DOA KESYUKURAN BAGI PENGANUGERAHAN BIASISWA KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA SESI 2026 / 2027

Berakas, Isnin, 18 Rabiulawal 1448 bersamaan 31 Ogos 2026–Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Jabatan Pengajian Islam pagi tadi mengadakan Majlis Doa Kesyukuran bagi Penganugerahan Biasiswa Kementerian Hal Ehwal Ugama, Sesi Akademik 2026/2027 kepada seramai 29 orang pelajar yang menerima tawaran biasiswa untuk melanjutkan pengajian di dalam dan luar negara. Majlis tersebut diadakan di Cesar Grand Hall, Mulia Hotel, Berakas.

Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Menteri Hal Ehwal Ugama. 

Turut hadir ialah Yang Mulia Dr. Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad, Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Dr. Haji Arman bin Haji Asmad, Ra'es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan; Yang Mulia Awang Haji Shamshol bin Haji Omar, Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) Kementerian Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahuddin, Pemangku Setiausaha Majlis Ugama Islam Brunei, Jabatan Majlis Ugama Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama serta pegawai-pegawai kanan Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Seramai 16 orang pelajar akan melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana Muda di Universiti Al-Azhar dan Ma’had Qiraat Shoubra, Republik Arab Mesir, dalam bidang Syariah, Usuluddin, Bahasa Arab serta Takhassus Al-Qur’an wa al-Qira’at.

Selain itu, seramai lima orang pelajar akan melanjutkan pengajian ke Malaysia. Daripada jumlah tersebut, empat orang pelajar akan melanjutkan pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, masing-masing dalam bidang Doktor Falsafah (Ph.D.) Pemikiran dan Tamadun Islam, Sarjana Muda Pendidikan (Pengajaran Bahasa Arab sebagai Bahasa Kedua), Sarjana Muda Ilmu Wahyu dan Warisan Islam dalam Fiqh dan Usul Fiqh serta Sarjana Muda Ilmu Wahyu dan Warisan Islam dalam Pengajian Al-Qur’an dan Al-Sunnah. Manakala, seorang pelajar lagi akan melanjutkan pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang Sarjana Pengajian Islam (Al-Qur’an dan Al-Sunnah).

Di samping itu, seramai tiga orang pelajar turut menerima tawaran biasiswa untuk melanjutkan pengajian ke University College Cork, Republik Ireland, dengan seorang pelajar mengikuti pengajian di peringkat Sarjana Muda dalam bidang Perubatan, manakala dua orang pelajar dalam bidang Pergigian.

Majlis juga menyaksikan seramai lima orang pelajar menerima biasiswa melalui Skim Khas A Level bagi melanjutkan pengajian ke Sekolah Antarabangsa Jerudong.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Mulia Awang Mohammad Zamery bin Haji Nayan, Pegawai Pelajaran Ugama, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, diikuti dengan ucapan oleh Pengerusi Majlis, Yang Mulia Dayang Hajah Mariana binti Haji Jamil, Pemangku Pengarah Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan tayangan video, diikuti dengan penyampaian Surat Penganugerahan Biasiswa Kementerian Hal Ehwal Ugama kepada para penerima yang disempurnakan oleh Tetamu Kehormat Majlis.

Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Kesyukuran yang dipimpin oleh Yang Mulia Awang Mohammad Zamery bin Haji Nayan, Pegawai Pelajaran Ugama, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama.