Rimba, Isnin, 18 Rabiulawal 1448 bersamaan 31 Ogos 2026–Seramai 210 orang pelajar diraikan dalam Majlis Haflut Takharruj dan Penghargaan Pelajar Cemerlang Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah bagi Tahun 1447H/2025M yang diadakan di Dewan sekolah berkenaan pada pagi tadi.
Majlis tersebut diadakan bagi meraikan pelajar Tahun 10 (Fast Track) dan Tahun 11 yang telah menamatkan pengajian pada tahun 2025, di samping menghargai pencapaian serta kecemerlangan akademik mereka. Sebahagian daripada penerima turut menerima lebih daripada satu penghargaan berdasarkan pencapaian dalam kategori akademik yang berbeza.
Bagi Peperiksaan Sijil Pelajaran Ugama Brunei (SPUB) Tahun 2025, seramai 124 orang pelajar menerima Hadiah Pelajar Terbaik, manakala 13 orang menerima Hadiah Pelajar Cemerlang.
Sementara itu, bagi Peperiksaan Brunei-Cambridge GCE ‘O’ Level Tahun 2025, seramai 39 orang pelajar menerima Hadiah Pelajar Terbaik dan seorang menerima Hadiah Pelajar Cemerlang.
Turut disampaikan ialah hadiah kepada 39 orang pelajar terbaik kelas bagi kedua-dua peperiksaan awam berkenaan.
Hadir selaku Tetamu Kehormat majlis ialah Yang Mulia Dr. Hajah Lilly Suzana binti Haji Shamsu, Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Pendidikan.
Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran berserta intisari, diikuti dengan nyanyian Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam dan Lagu Rasmi Sekolah. Acara kemudiannya diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Mulia Awang Haji Norhisyam bin Haji Mohd Noor, Pengetua Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah selaku Pengerusi Majlis.
Acara seterusnya diteruskan dengan penyampaian hadiah yang disempurnakan oleh Tetamu Kehormat majlis, sebelum diakhiri dengan penyampaian Hadiah Khas Pelajar Mithali bagi Tahun 2025.
Penganjuran majlis tersebut mencerminkan komitmen berterusan dalam menghargai kecemerlangan pelajar serta memartabatkan pendidikan Islam dan Arab. Selain itu, majlis ini turut menjadi pemangkin kepada para pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan pada peringkat pengajian yang lebih tinggi. Usaha tersebut juga mendukung aspirasi Wawasan Brunei 2035 dalam melahirkan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya.