Tutong, Isnin, 17 Rabiulawal 1448 bersamaan 29 Ogos 2026-Bersempena dengan Sambutan Jubli Intan Ke-60 Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong, pelbagai aktiviti telah diadakan bagi memeriahkan sambutan tersebut. Antaranya ialah Majlis Ceramah Perdana yang diadakan pagi tadi bertempat di Dewan Solat Utama, Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong.
Hadir selaku Tetamu Kehormat ialah Yang Mulia Awang Haji Mohammad Sofian bin Haji Basri, Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Pejabat Daerah Tutong, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.
Ceramah yang bertajuk Kembali Kepada Fitrah telah disampaikan oleh Penceramah Undangan, Yang Berbahagia Dato’ Prof. Dr. Haji Mohd Farid Ravi bin Abdullah, Naib Canselor Universiti Islam Selangor, Malaysia.
Antara lain, ceramah tersebut menyentuh mengenai pentingnya menghayati dan meningkatkan kesedaran terhadap syariat Islam, memperkukuh iman dan ketaatan kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala serta meningkatkan kecintaan terhadap Baginda Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam. Di samping itu, umat Islam juga diseru untuk memelihara hubungan dengan Allah Subhanahu Wa Ta’ala (Hablum Minallah) dan hubungan sesama manusia (Hablum Minannas). Segala suruhan-Nya hendaklah dipatuhi dan segala larangan-Nya dijauhi dengan penuh istiqamah.
Beberapa aktiviti dan program majlis ilmu, termasuk Forum Belia, Kempen Menderma Darah, tazkirah dan lain-lain, telah dirancang dan disusun bagi mengimarahkan masjid serta memeriahkan Sambutan Jubli Intan Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong sepanjang tahun ini.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam yang dipimpin oleh Yang Mulia Awang Sahibol Omar bin Haji Yussof, Imam Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong, dan diakhiri dengan penyampaian cenderahati kepada Penceramah Undangan dan Tetamu Kehormat Majlis.
Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong telah dirasmikan pada 26 Ogos 1966 oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, yang pada ketika itu bergelar Yang Teramat Mulia Seri Paduka Duli Pengiran Muda Mahkota Hassanal Bolkiah.
Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong yang merupakan masjid utama di Daerah Tutong bukan sahaja dihasratkan sebagai tempat beribadat, malah turut dimanfaatkan bagi pelbagai program dan aktiviti yang bertujuan memperkukuh hubungan dalam kalangan penduduk dan masyarakat. Masjid tersebut juga menjadi tumpuan bagi acara-acara keraian serta sambutan hari-hari kebesaran Islam dan negara.

Foto: JHEM