Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

PERTANDINGAN TAUSYEH SEMPENA SAMBUTAN MAULUD NABI MUHAMMAD  SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASALLAM BAGI BELIA DAN BELIAWANIS MASJID SENEGARA 1448H/2026M

29 August 2026

PERTANDINGAN TAUSYEH SEMPENA SAMBUTAN MAULUD NABI MUHAMMAD SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASALLAM BAGI BELIA DAN BELIAWANIS MASJID SENEGARA 1448H/2026M

Sengkurong, Sabtu, 16 Rabiulawal 1448 bersamaan 29 Ogos 2026–Dalam menghidupkan syiar Islam melalui zikir tausyeh, di samping mencungkil bakat dalam kalangan belia dan beliawanis masjid serta menggalakkan penglibatan golongan muda dalam aktiviti masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid melalui Bahagian Hal Ehwal Belia dengan kerjasama Kumpulan Belia Syababul Iman, Belia Masjid Sultan Sharif Ali Sengkurong dan Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Sultan Sharif Ali Sengkurong mengadakan Pertandingan Lagu-lagu Tausyeh bagi Kumpulan Belia dan Beliawanis Masjid Senegara Sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bagi Tahun 1448H/2026M dengan tema Rasulullah Role Model Pilihan Allah. Pertandingan diadakan pada pagi tadi di masjid berkenaan.

Pertandingan ini merupakan kesinambungan daripada pertandingan yang telah diadakan pada tahun sebelumnya dan dihasratkan untuk menjadi salah satu aktiviti tahunan. 

Selain itu, penganjuran pertandingan berkenaan dihasratkan dapat memperkukuhkan peranan masjid sebagai pusat perkumpulan dan dakwah, serta menyokong hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah Yang Mulia Awang Mohd. Aliyani bin Ismail, Pemangku Penolong Pengarah Hal Ehwal Masjid.

Dengan adanya pertandingan ini, pihak penganjur berharap agar ia dapat melahirkan generasi belia dan beliawanis masjid yang berkemahiran dalam membawakan lagu-lagu tausyeh dengan baik dan sempurna, di samping meningkatkan kecintaan terhadap Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam serta menggalakkan penglibatan golongan belia dalam kegiatan keagamaan di masjid.

 

Foto: JHEM