Tutong, Sabtu, 16 Rabiulawal 1448 bersamaan 29 Ogos 2026-Bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80, Tahun 2026, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Bahagian Imarah, dengan kerjasama Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Tutong dan Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Penanjong, telah mengadakan Pertandingan Membaca Al-Quran Secara Murattal bagi Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid, Jemaah Masjid dan Muslimah Masjid Warga Emas Berumur 70 Tahun Ke Atas Senegara bagi Tahun 1448H/2026M. Pertandingan tersebut diadakan di Masjid Kampung Penanjong.
Penganjuran pertandingan ini bertujuan untuk menyahut seruan Kebawah Duli Yang Maha Mulia agar Negara Brunei Darussalam terus menjadi sebuah Negara Zikir dan rakyatnya celik Al-Quran, di samping memupuk budaya membaca Al-Quran dalam kalangan warga emas. Selain itu, pertandingan ini dihasratkan dapat meningkatkan kecintaan dan penghayatan warga emas terhadap Al-Quran, khususnya dalam aspek bacaan secara murattal dan penguasaan ilmu tajwid.
Pertandingan ini juga memberikan peluang kepada golongan warga emas untuk mempersembahkan bacaan Al-Quran di khalayak ramai, di samping mencungkil bakat dan kebolehan mereka serta seterusnya menyemarakkan syiar Islam.
Program berkenaan turut menjadi wadah untuk mengeratkan silaturahim dalam kalangan warga emas serta memupuk semangat keislaman, keimanan dan kesatuan Islamiah melalui penglibatan dalam aktiviti yang berteraskan Al-Quran.
Pertandingan terbahagi kepada dua kategori, iaitu kategori lelaki dan kategori perempuan.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah Yang Mulia Awang Haji Amir Hisham bin Haji Masri, Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid.
Semoga dengan adanya pertandingan seumpama ini, objektif yang telah ditetapkan akan dapat dicapai, khususnya dalam menyemarakkan kecintaan terhadap Al-Quran dalam kalangan warga emas. Di samping itu, diharapkan program seperti ini akan dapat menarik lebih ramai masyarakat untuk terus mendekatkan diri dengan Al-Quran serta memakmurkan masjid.

Foto: JHEM