Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS KHATAM HAFAZ 30 JUZ AL-QURAN GRADUAN DIPLOMA TERTINGGI ‘ALIYAH QIRAAT SESI PENGAJIAN (2023 – 2026) SEMPENA HAFLUT TAKHARRUJ KALI KE EMPAT BELAS INSTITUT TAHFIZ AL-QURAN SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH 1448H / 2026M

26 August 2026

MAJLIS KHATAM HAFAZ 30 JUZ AL-QURAN GRADUAN DIPLOMA TERTINGGI ‘ALIYAH QIRAAT SESI PENGAJIAN (2023 – 2026) SEMPENA HAFLUT TAKHARRUJ KALI KE EMPAT BELAS INSTITUT TAHFIZ AL-QURAN SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH 1448H / 2026M

Bandar Seri Begawan, Rabu, 13 Rabiulawal 1448 bersamaan 26 Ogos 2026–Majlis Khatam Hafaz 30 Juz Al-Quran bagi graduan Diploma Tertinggi ‘Aliyah Qiraat sesi pengajian 2023–2026 sempena Haflut Takharruj Kali Keempat Belas Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah telah diadakan pada pagi tadi, bertempat di Musolla, Kampus Kekal Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Hadir selaku Tetamu Kehormat pada majlis tersebut ialah Yang Mulia Awang Haji Shamshol bin Haji Omar, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), Kementerian Hal Ehwal Ugama, selaku Pengerusi Jawatankuasa Akademik dan Peperiksaan Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Turut hadir ialah ahli-ahli Jawatankuasa Akademik dan Peperiksaan, pengetua-pengetua sekolah Arab, timbalan-timbalan pengetua, para pegawai dan pensyarah, jemputan-jemputan khas, guru-guru serta ibu bapa para bakal graduan Program Diploma Tertinggi ‘Aliyah Qiraat.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang diketuai oleh Tetamu Kehormat. Acara diteruskan dengan bacaan surah-surah lazim secara hafazan oleh Graduan Diploma Tertinggi ‘Aliyah Qiraat yang dipimpin oleh Awang Muhammad Nur Safwan bin Awang Asli.

Seterusnya, majlis diikuti dengan bacaan Takhtim oleh siswa-siswa Tahun 1 Diploma Tertinggi ‘Aliyah Qiraat Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, serta bacaan Doa Khatam yang dibacakan oleh Awang Muhammad Faiz Najwan bin Muhammad Salleh, salah seorang bakal Graduan Diploma Tertinggi ‘Aliyah Qiraat.

Majlis turut diserikan dengan Dikir Marhaban oleh peserta Takhtim, sebelum diteruskan dengan penyampaian sijil khatam hafaz kepada para Graduan oleh Tetamu Kehormat.

Acara kemudiannya diteruskan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Selawat Tafrijiyyah, diikuti dengan bacaan Doa Selamat dan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam yang dibacakan oleh Awang Ahmad Huzaifah bin Haji Awang Hasbi, salah seorang bakal Graduan.

Majlis Khatam Hafaz 30 Juz Al-Quran bagi Graduan Diploma Tertinggi ‘Aliyah Qiraat sesi pengajian 2023–2026 ini merupakan salah satu acara iringan sempena Haflut Takharruj Kali Keempat Belas Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.