Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

SKIM BIMBINGAN LANJUTAN II MUALLAF  SIRI KE – 43 (LELAKI) DAN SIRI KE – 44 (PEREMPUAN)

26 August 2026

SKIM BIMBINGAN LANJUTAN II MUALLAF SIRI KE – 43 (LELAKI) DAN SIRI KE – 44 (PEREMPUAN)

Negara Brunei Darussalam, Rabu, 13 Rabiulawal 1448 bersamaan 26 Ogos 2026–Pusat Da’wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Bahagian Pembangunan Muallaf (Tarbiyah Muallaf) dan Cawangan Da’wah Daerah-Daerah mengadakan Skim Bimbingan Lanjutan II Muallaf Siri Ke–43 (Lelaki) dan Ke–44 (Perempuan). Skim ini diadakan secara serentak di keempat-empat daerah selama 14 hari, bermula pada hari ini 26 Ogos 2026 hingga 10 September 2026, kecuali hari Ahad.

Seramai 157 orang muallaf mengikuti Skim Bimbingan Lanjutan II Muallaf Siri Ke–43 (Lelaki) dan Ke–44 (Perempuan) pada kali ini. Daripada jumlah tersebut, seramai 51 orang peserta di Daerah Brunei dan Muara, 48 orang peserta di Daerah Tutong, 42 orang peserta di Daerah Belait, dan 22 orang peserta di Daerah Temburong.

Skim ini dilaksanakan secara serentak di beberapa lokasi, iaitu di Bangunan Darul Huda, Pusat Da’wah Islamiah, Daerah Brunei dan Muara; Dewan Serbaguna, Pejabat Cawangan Da’wah Daerah Tutong; Pejabat Cawangan Da’wah Daerah Belait; dan Pejabat Cawangan Da’wah Daerah Temburong.

Sepanjang skim di dijalankan, para peserta didedahkan dengan pembelajaran ilmu asas Fardhu ’Ain iaitu Iqra’, Amali, Aqidah, Fiqh Zakat, Fiqh Muamalat, Sejarah Islam, Akhlak Islam, Qurban dan Aqiqah, Sesi Kongsisama mengenai Undang-Undang Syariah dari Jabatan Perundangan Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan lawatan sambil belajar ke Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Antara objektif skim ini diadakan adalah untuk memberikan bimbingan kepada para muallaf dalam menghalusi dan meningkatkan lagi ilmu pengetahuan agama Islam, khususnya dalam bidang aqidah, ibadah dan akhlak.

Dalam usaha berterusan untuk menjaga dan memelihara kemaslahatan muallaf, Pusat Da'wah Islamiah telah menyediakan beberapa program bimbingan lain secara beterusan iaitu Bimbingan Pengenalan Islam, Skim Bimbingan Asas (Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris), Skim Bimbingan Lanjutan I serta Skim Bimbingan Lanjutan II. Kelas Bimbingan Muallaf juga turut dibukakan secara mingguan di keempat-empat daerah.