Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS SAMBUTAN MAULUD NABI MUHAMMAD SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALAM PERINGKAT DAERAH TUTONG TAHUN 1448/2026

25 August 2026

MAJLIS SAMBUTAN MAULUD NABI MUHAMMAD SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALAM PERINGKAT DAERAH TUTONG TAHUN 1448/2026

Tutong, Selasa, 12 Rabiulawal 1448 bersamaan 25 Ogos 2026-Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu Alaihi Wasallam Peringkat Daerah Tutong telah diadakan pada pagi tadi bertempat di kawasan lapang Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong.

Hadir selaku Tetamu Khas Majlis, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan tazkirah yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Haji Muhammad Najib bin Haji Awang dari Bahagian Penyebaran Dakwah, Pusat Dakwah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama. Majlis diteruskan dengan persembahan Dikir Marhaban secara beramai-ramai oleh Bahagian Pengajian Islam, Pejabat Hal Ehwal Ugama Daerah Tutong yang diketuai oleh Yang Mulia Awang Sirajul Aidil bin Haji Mohd. Yusof. Kemudian diikuti dengan Bacaan Sayyidul Istighfar dan Doa Selamat dipimpin oleh Yang Mulia Awang Mohd. Azim Shah bin Abdul Rahman, Imam Tingkat 3, Ketua Imam Masjid Kampung Menengah. Sementara itu, laungan selawat dipimpin oleh Yang Mulia Awang Abdul Raqib bin Haji Awang, Imam Tingkat 3, Ketua Imam Masjid Pengiran Muda Abdul Wakeel, Kiudang, Tutong.

Perarakan kemudiannya bermula dengan didahului oleh Tetamu Khas bersama Ahli Jawatankuasa Kerja Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu Alaihi Wasallam Peringkat Daerah Tutong dan diiringi laungan selawat oleh kumpulan dikir sepanjang laluan sejauh kira-kira 1.4 kilometer.

Perarakan berakhir di kawasan lapang berhadapan Kompleks Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong, yang seterusnya menjadi tempat berkumpul semula para peserta.

Sebanyak 36 pasukan menyertai perarakan tersebut dengan jumlah keseluruhan seramai 3,537 peserta. Daripada jumlah berkenaan, seramai 100 orang terdiri daripada Ahli Jawatankuasa, 1,478 orang daripada pasukan beruniform, 320 orang daripada jabatan-jabatan kerajaan, 125 orang daripada sekolah-sekolah, 1,399 orang daripada masjid-masjid di Daerah Tutong serta 115 orang daripada persatuan-persatuan dan sektor swasta.

Pada masa yang sama, Majlis Perhimpunan Khas Wanita turut diadakan di Dewan Ma'had Islam Brunei, Tutong. Tetamu Khas majlis berkenaan ialah Yang Mulia Datin Dayang Hajah Mahayon binti Haji Mohd. Taha, isteri Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Negara Brunei Darussalam.

Majlis Perhimpunan Khas Wanita turut diisikan dengan ceramah khas yang disampaikan oleh Yang Mulia Dayang Siti Syuhaidah binti Haji Md. Yusoff, Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Dakwah Islamiah, serta persembahan Dikir Marhaban secara beramai-ramai oleh gabungan Muslimah Masjid Hassanal Bolkiah dan Muslimah Masjid Rancangan Perumahan Negara Bukit Beruang, Tutong.

Majlis berkenaan turut dihadiri oleh Muslimah-Muslimah masjid di Daerah Tutong, ketua-ketua jabatan, isteri-isteri penghulu dan ketua-ketua kampung serta guru-guru ugama di Daerah Tutong.

Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu Alaihi Wasallam Peringkat Daerah Tutong diadakan sebagai salah satu wadah bagi memperingati dan menghayati kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad Shallallahu Alaihi Wasallam, di samping menyemarakkan rasa cinta serta memperkukuh penghayatan umat Islam terhadap ajaran dan sunnah Baginda.