Kuala Belait, Selasa, 12 Rabiulawal 1448 bersamaan 25 Ogos 2026–Bagi memperingati kelahiran Junjungan Besar Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam serta menanam kecintaan dan penghormatan terhadap Baginda melalui penghayatan sunnah dan nilai-nilai murni yang dibawa di samping memupuk semangat perpaduan ummah melalui penyertaan aktif institusi kerajaan, swasta, institusi pendidikan, masjid, kampung dan persatuan, pada pagi tadi Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam Peringkat Negara dianjurkan dengan penuh takzim melalui perhimpunan dan perarakan yang melibatkan pelbagai lapisan masyarakat seluruh Negara.
Di Daerah Belait, seramai 2,383 orang peserta, melibatkan 35 pasukan mengikuti Perhimpunan dan Perarakan Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam Peringkat Daerah Belait Tahun 1448 Hijrah yang diadakan di Padang Bandaran, Jalan Sultan, Kuala Belait.
Pasukan yang menyertai terdiri daripada Ahli Jawatankuasa, pasukan-pasukan beruniform, jabatan-jabatan kerajaan, syarikat-syarikat Swasta, sekolah-sekolah menengah dan Arab, masjid, surau, balai ibadat, Majlis Perundingan Mukim dan Kampung serta persatuan-persatuan di Daerah Belait.
Hadir selaku Tetamu Khas ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Mohammed Yunos, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah oleh Yang Mulia Awang Mohammad Fakhri bin Haji Ibrahim, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati Lorong 3 Selatan, Seria.
Tazkirah khas berkenaan tema Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam pada tahun ini iaitu “Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam Suluh Aqidah”, disampaikan oleh Yang Mulia Awang Muhammad Safwan bin Mohd Suffian, Penolong Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da’wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Majlis diteruskan dengan Persembahan Dikir Marhaban daripada Belia Masjid Daerah Belait.
Bacaan Doa Selamat dan diikuti laungan Selawat sebanyak 3 kali dipimpin oleh Yang Mulia Awang Mohammad Fakhri bin Haji Ibrahim, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati Lorong 3 Selatan, Seria.
Perarakan sejauh 1.2 kilometer mengelilingi Pekan Belait didahului oleh pasukan yang diketuai oleh Tetamu Khas dan Ahli-Ahli Jawatankuasa Sambutan, diikuti pasukan-pasukan lain yang mengambil bahagian. Iringan persembahan Tausyeh daripada Belia-Belia Masjid Daerah Belait turut memeriahkan majlis.
Majlis ini diadakan sebagai wadah untuk menyampaikan mesej dakwah dan pengajaran Islam secara berkesan kepada generasi muda agar mereka terus menjadikan Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam sebagai contoh teladan dalam kehidupan seharian.