Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS PENUTUP DIKIR SEMPENA SAMBUTAN MAULUD NABI MUHAMMAD SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASALLAM BAGI TAHUN 1448H / 2026M

24 August 2026

MAJLIS PENUTUP DIKIR SEMPENA SAMBUTAN MAULUD NABI MUHAMMAD SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASALLAM BAGI TAHUN 1448H / 2026M

Kuala Belait, Isnin, 12 Rabiulawal 1448 bersamaan 24 Ogos 2026–Majlis Dikir merupakan salah satu syiar Islam yang dianjurkan sebagai usaha untuk memakmurkan masjid, di samping menzahirkan rasa kasih dan kecintaan yang tulus ikhlas terhadap Junjungan Besar Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam sempena memperingati Hari Keputeraan Baginda. Penganjuran majlis berkenaan juga menjadi wadah dalam mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan jemaah masjid dan penduduk kampung.

Sehubungan itu, Majlis Penutup Dikir Sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bagi tahun 1448H / 2026M telah diadakan malam tadi di Masjid Mohammad Jamalul Alam, Kuala Belait.

Suasana meriah dan penuh semangat ukhuwah jelas terasa dengan penyertaan rombongan-rombongan yang terdiri daripada para pegawai dan kakitangan jabatan-jabatan kerajaan, Ahli Jawatankuasa Kerja Sambutan, penghulu-penghulu mukim, ketua-ketua kampung serta wakil syarikat-syarikat swasta di Daerah Belait. Rombongan berkenaan diketuai oleh Yang Mulia Awang Muhammad Faiq bin Haji Rani, Pemangku Pegawai Daerah Belait.

Sejurus selepas sembahyang fardu Maghrib berjemaah, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang dipimpin oleh ketua rombongan, diikuti dengan persembahan Dikir Assalamu’alaika, Dikir Khairu Man, Dikir Alhamdu dan Dikir Badats Lana.

Selepas sembahyang fardu Isya berjemaah, majlis diteruskan dengan Dikir Ya Man Hadhar, diikuti dengan bacaan Doa Dikir. Majlis kemudiannya diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dipimpin oleh Yang Mulia Awang Afiq Haririe bin Haji Mat Daud, Imam Masjid Mohammad Jamalul Alam.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Yang Mulia Awang Mohamad Aliyani bin Ismail, Ketua Pegawai Ugama Daerah Belait.

Majlis Dikir di masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat diadakan secara serentak di seluruh negara, bermula pada 1 Rabiulawal 1448 bersamaan 13 Ogos 2026, selepas sembahyang fardu Maghrib, dan berlangsung selama 12 malam berturut-turut sehingga 12 Rabiulawal 1448 bersamaan 24 Ogos 2026.