Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS PENUTUP DIKIR 12 MALAM BERTURUT-TURUT BAGI  MASJID, SURAU DAN BALAI IBADAT SELURUH NEGARA SEMPENA  SAMBUTAN MAULUD NABI MUHAMMAD SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASALLAM TAHUN 1448H / 2026M

24 August 2026

MAJLIS PENUTUP DIKIR 12 MALAM BERTURUT-TURUT BAGI MASJID, SURAU DAN BALAI IBADAT SELURUH NEGARA SEMPENA SAMBUTAN MAULUD NABI MUHAMMAD SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASALLAM TAHUN 1448H / 2026M

Kiarong, Isnin, 12 Rabiulawal 1448 bersamaan 24 Ogos 2026–Selain untuk memeriahkan dan memperingati Hari Keputeraan Junjungan Besar kita Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam, Majlis Dikir Syarafil Anam di Masjid, Surau dan Balai Ibadat Seluruh Negara adalah bagi mendapatkan keberkatan dan rahmat dari Allah Subhanahu Wata'ala, serta memupuk kesedaran dan keinsafan umat Islam dalam mengenang jasa dan pengorbanan Baginda Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam dalam menyebarkan agama Islam.

Berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam adalah amalan mulia dalam pembentukan jati diri individu muslim. Antara ganjaran yang akan diperolehi oleh orang yang sentiasa berselawat ialah sebagaimana dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu bahwa sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda sesiapa mengucapkan selawat kepada ku, Allah Subhanahu Wa Ta’ala berselawat (memberi rahmat) kepadanya sepuluh kali.

Sehubungan dengan itu, bersempena memperingati Hari Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam yang disambut pada 12 Rabiulawal setiap tahun, semua masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara mengadakan Dikir Maulud Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam selama 12 malam berturut-turut mulai 01 Rabiulawal 1448 yang lalu.

Berikutan itu, Majlis Penutup Dikir Maulud Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam selama 12 Malam Berturut-Turut telah diadakan malam ini di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kiarong. Hadir selaku Tetamu Kehormat pada majlis tersebut ialah Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Menteri Hal Ehwal Ugama. 

Turut Hadir, Yang Mulia Dr. Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Awang Haji Shamshol bin Haji Omar, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) Kementerian Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Dr Haji Arman bin Haji Asmad, Ra’es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan; pengarah-pengarah, pegawai-pegawai kanan dan kakitangan dari Kementerian Hal Ehwal Ugama serta jemaah masjid berkenaan.

Majlis pada malam tersebut dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh tetamu kehormat majlis dan diikuti dengan tazkirah yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Haji Muhammad Najib bin Haji Awang, Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da'wah Islamiah dan seterusnya acara dikir pun dimulakan.

Majlis seumpama ini diadakan sebagai salah satu syiar Islam untuk memakmurkan masjid, selain mengingati Hari Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam, di samping dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan pegawai dan kakitangan Kementerian Hal Ehwal Ugama dengan jemaah masjid dan penduduk kampung.