Berakas, Isnin, 11 Rabiulawal 1448 bersamaan 24 Ogos 2026–Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat mengadakan keberangkatan tidak berjadual ke Kementerian Hal Ehwal Ugama, Jalan Dewan Majlis pagi tadi.
Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dijunjung oleh Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam Brunei; Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof, Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II; Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam); Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang); Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd. Yusof, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II; Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Awang Haji Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan; serta pegawai-pegawai kanan Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Baginda memulakan lawatan tidak berjadual dengan keberangkatan ke Dewan Multaqa, Aras Bawah, Bangunan Darul Itqan, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan berkenan mengurniakan Titah.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah telahpun berkali-kali menegur, memperingatkan dan menyarankan bagi pembaikan dan peningkatkan pengurusan zakat di negara ini, yang wajib dilakukan untuk kemaslahatan umum pengagihan zakat.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya menegaskan bahawa pengurusan zakat bukanlah urusan pentadbiran biasa tetapi ia adalah terikat sebagai amanah ugama yang perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab. Sehubungan itu, Baginda mahu pihak JUZWAB mempunyai kemahiran dan kepakaran yang setanding dengan tanggungjawab yang dipikul, peri mustahaknya menuntut ilmu serta memperluaskan kerjasama dengan pihak yang berkompetensi serta memanfaatkan kemajuan teknologi sebagai mekanisme kawalan bagi menutup sebarang ruang ketirisan dalam pengurusan hal ehwal zakat.
Baginda turut menekankan usaha memperkasa Program-Program Pengupayaan Asnaf Zakat (PROPAZ) melalui idea dan pendekatan baharu serta kerjasama strategik bagi membantu lebih ramai asnaf mencapai kemandirian. Usaha berterusan ini dihasratkan dapat meningkatkan kesejahteraan asnaf serta menyumbang kepada pencapaian Wawasan Brunei 2035.
Sejurus itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan melawat ke Jabatan Urusan Zakat, Waqaf dan Baitulmal, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan berkenan melawat ke premis “Kafe Pengupayaan Asnaf” di bawah Program Pengupayaan Asnaf Zakat [PROPAZ], Jabatan Urusan Zakat, Waqaf dan Baitulmal.
Jabatan Urusan Zakat, Waqaf dan Baitulmal, Kementerian Hal Ehwal Ugama ditubuhkan dan dirasmikan pada 19 Julai 2023 setelah penggabungan dan penaiktarafan Bahagian Kutipan dan Agihan Zakat (BAKAZ) dan Bahagian Waqaf dan Baitulmal, Jabatan Majlis Ugama Islam Brunei.
Foto: PDI dan BPAAM