Jumaat, 08 Rabiulawal 1448 bersamaan 21 Ogos 2026–Yang Mulia Dato Seri Paduka Dr. Awang Haji Norarfan bin Haji Zainal, Timbalan Menteri Pendidikan selaku Naib Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam Brunei, dan Yang Mulia Awang Haji Hamzah bin Haji Sabtu, Pemangku Timbalan Setiausaha Majlis Ugama Islam Brunei, telah menghadiri jemputan daripada Dewan Pimpinan Majelis Ulama Indonesia Provinsi Kalimantan Barat ke acara Rapat Koordinasi Daerah (RAKORDA) Majelis Ulama Indonesia Wilayah V Se-Kalimantan Tahun 2026 yang diadakan di Kota Pontianak, Kalimantan Barat, pada pagi tadi.
Yang Mulia Dato Seri Paduka Dr. Awang Haji Norarfan bin Haji Zainal turut menyertai sesi dialog yang dianjurkan oleh Majelis Ulama Indonesia bersama Mufti Kuching, Sarawak, Malaysia.
Penyertaan dalam Rapat Koordinasi Daerah (RAKORDA) Majelis Ulama Indonesia Wilayah V Se-Kalimantan Tahun 2026 berkenaan diharap dapat mempererat ukhuwah Islamiah, di samping memperkukuh hubungan dan kerjasama antara Majlis Ugama Islam Brunei dan Majelis Ulama Indonesia, khususnya dalam bidang keagamaan.
Rombongan yang diketuai oleh Yang Mulia Dato Seri Paduka Dr. Awang Haji Norarfan bin Haji Zainal, Timbalan Menteri Pendidikan selaku Naib Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam Brunei, bersama Yang Mulia Awang Haji Hamzah bin Haji Sabtu, Pemangku Timbalan Setiausaha Majlis Ugama Islam Brunei, serta rombongan, telah bertolak meninggalkan Negara Brunei Darussalam pada Khamis, 20 Ogos 2026.