Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MALAM MUNAJAT ANJURAN KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA KALI KE-243 (KHAS UNTUK WANITA KE-40)

22 August 2026

MALAM MUNAJAT ANJURAN KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA KALI KE-243 (KHAS UNTUK WANITA KE-40)

Negara Brunei Darussalam, Sabtu, 10 Rabiulawal 1448 bersamaan 22 Ogos 2026–Sirah Rasulullah SAW bukan sekadar sebagai catatan sejarah tetapi sebagai panduan kehidupan yang sentiasa relevan dengan cabaran manusia pada hari ini. Tazkirah mengetengahkan dua hikmah utama daripada perjalanan kehidupan Baginda. 

Hikmah pertama menekankan bahawa ujian dan cabaran merupakan sebahagian daripada fitrah kehidupan manusia. Melalui pelbagai ujian yang dilalui Rasulullah SAW, termasuk kehilangan, penolakan, penghinaan dan kesedihan, kita belajar bahawa emosi seperti sedih, takut, marah dan risau adalah sebahagian daripada respons semula jadi manusia. Yang penting ialah bagaimana emosi tersebut diurus dengan iman, sabar, doa, tawakal dan sokongan daripada orang di sekeliling.  

Hikmah kedua pula menonjolkan bahawa adab dan akhlak mulia menjadi asas kepada kejayaan dalam kehidupan. Kejujuran dan amanah Rasulullah SAW sehingga Baginda dikenali sebagai alAmin, serta akhlak Baginda ketika berhadapan dengan mereka yang menyakiti dan menentangnya, menunjukkan bahawa akhlak tidak seharusnya ditentukan oleh cara orang lain melayan kita. Sebaliknya, kita mempunyai kemampuan untuk memilih bagaimana kita berakhlak.  

Akhirnya, Tazkirah membawa kepada satu renungan bahawa kejayaan sebenar bukan hanya diukur melalui pencapaian, kedudukan, kerjaya atau harta tetapi melalui nilai, akhlak dan manfaat yang kita tinggalkan kepada orang lain. Sirah Rasulullah SAW menjadi cerminan bahawa walaupun zaman dan cabaran berubah, fitrah manusia tetap mempunyai persamaan. Oleh itu, Maulidur Rasul bukan sekadar mengingati kelahiran Baginda tetapi merupakan ruang untuk mengambil teladan dan hikmah daripada kehidupan Rasulullah SAW bagi membentuk cara kita menjalani kehidupan pada hari ini.  

Demikian antara inti pati Tazkirah bertajuk Dari Sirah kepada Kehidupan: Menemui Hikmah Perjalanan Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam dalam Kehidupan Masa Kini yang disampaikan oleh Yang Mulia Pengiran Siti Katijah binti Pengiran Sulaiman, Pengarah Pusat Latihan dan Peningkatan Kompetensi, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, bagi menyerikan Malam Munajat Khas untuk Wanita Ke-40 anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama Kali Ke-243 pada malam tadi.

Menyemarakkan Program Malam Munajat minggu ini ialah Ahli Jawatankuasa Kumpulan Firqah Ulfatunnisa dan Kumpulan Ar-Rumaysa’ di bawah Program Keugamaan Belia, Pusat Da’wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama.  Juga menyerikan, para muslimah dan jemaah dari beberapa buah masjid seluruh negara serta warga kerja wanita di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama dan individu yang mengikuti program ini secara maya dari kediaman masing-masing.

Atur cara Munajat malam tadi dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Mulia Dayang Nur Syafiqah binti Nasruddin, Ketua Kumpulan Firqah Ulfatunnisa, Program Keugamaan Belia, Pusat Da’wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama. 

Diikuti dengan bacaan Surah Al-Waqiah beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Dayang Nurul Afiqah binti Lamit, Ahli Kumpulan Ar-Rumaysa’, Program Keugamaan Belia, Pusat Da’wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama. Seterusnya, Doa Munajat dibacakan oleh Yang Mulia Dayang Nur Tajwiida Insyirah binti Haji Isa, Ahli Kumpulan Ar-Rumaysa’, Program Keugamaan Belia, Pusat Da’wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Sejurus selesai Tazkirah, disusuli dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Dayang Fatin Nurhanani binti Abdullah Mohdar, Ahli Kumpulan Firqah Ulfatunnisa, Program Keugamaan Belia, Pusat Da’wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Kemudiannya, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Yang Mulia Dayangku Lutfiatul Mahfuzah binti Pengiran Anak Mohd. Yusuf, Pengurus Kumpulan Ar-Rumaysa’, Program Keugamaan Belia, Pusat Da’wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Program Malam Munajat bertujuan mengajak masyarakat Islam mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala melalui amalan kerohanian, memohon keampunan, membaca dan menghayati ayat-ayat suci Al-Quran, serta merafakkan dan mengaminkan doa secara beramai-ramai dengan penuh pengharapan agar Negara Brunei Darussalam beserta seluruh rakyat dan penduduknya sentiasa terpelihara daripada sebarang musibah dan penyakit berjangkit.  Semoga segala amalan kerohanian dan doa munajat yang kita panjatkan serta aminkan diterima dan dimakbulkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

Orang ramai dialu-alukan untuk ikut serta dalam acara Malam Munajat yang diadakan secara maya melalui pautan berikut: http://tiny.cc/munajatkheuwanita.