Belait, Khamis, 08 Rabiulawal 1448 bersamaan 20 Ogos 2026-Antara kelebihan berselawat ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam ialah memperoleh rahmat dan pahala yang besar daripada Allah Subhanahu Wa Ta‘ala, mendapat kebaikan serta diampunkan dosa. Amalan memperbanyakkan selawat juga menjadi sebab doa seseorang diterima oleh Allah Subhanahu Wa Ta‘ala, selain menjadi salah satu amalan yang dapat melepaskan seseorang daripada keresahan dan kesusahan pada hari kiamat.
Sehubungan dengan itu, lewat petang tadi, bersempena dengan Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bagi Tahun 1448H/2026M, Rombongan Dikir Kementerian Hal Ehwal Ugama meneruskan lagi Majlis Ihya Maulidur Rasul yang diadakan di Balai Ibadat Kampung Merangking, Daerah Belait.
Mengetuai rombongan ialah Yang Mulia Dr. Haji Arman bin Haji Asmad, Ra’es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan. Turut hadir ialah pengarah-pengarah, pegawai-pegawai kanan dan kakitangan Kementerian Hal Ehwal Ugama, Ahli Jawatankuasa Takmir Balai Ibadat Kampung Merangking, Daerah Belait, serta jemaah balai ibadat berkenaan.
Majlis diserikan dengan tazkirah yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Abdul Khaliq bin Kamree, Penolong Pegawai Ugama, Pejabat Unit Da’wah Daerah Belait, Kementerian Hal Ehwal Ugama. Sejurus selepas itu, acara dikir pun dimulakan.
Bagi memberkati majlis, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Yang Mulia Awang Haji Akup bin Haji Lamat, Pegawai Hal Ehwal Masjid Daerah Belait.
Majlis Dikir Maulud yang diadakan selama 12 malam berturut-turut di masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat di seluruh negara bertujuan untuk memperingati pengorbanan Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam dalam menyebarkan syiar Islam, sekali gus menanamkan rasa kasih dan cinta terhadap Baginda.
Di samping menjadi salah satu usaha untuk memakmurkan masjid, majlis berkenaan juga menjadi wadah untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara pegawai dan kakitangan Kementerian Hal Ehwal Ugama dengan jemaah masjid serta penduduk kampung di sekitarnya.
Rombongan Kementerian Hal Ehwal Ugama seterusnya akan berkunjung ke Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kiarong, pada hari Isnin, 11 Rabiulawal 1448 bersamaan dengan 24 Ogos 2026, yang akan diselajurkan dengan Majlis Penutup Dikir 12 Malam Berturut-turut bagi masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bagi Tahun 1448H/2026M.
Foto: JHEM