Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

LATIHAN PENUH MAJLIS SAMBUTAN MAULUD NABI MUHAMMAD SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASALLAM PERINGKAT NEGARA BAGI TAHUN 1448 HIJRAH

20 August 2026

LATIHAN PENUH MAJLIS SAMBUTAN MAULUD NABI MUHAMMAD SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASALLAM PERINGKAT NEGARA BAGI TAHUN 1448 HIJRAH

Bandar Seri Begawan, Khamis, 07 Rabiulawal 1448 bersamaan 20 Ogos 2026–Dalam beberapa hari sahaja lagi, masyarakat Islam di negara ini khususnya dan umat Islam di seluruh dunia amnya akan menyambut Maulud Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bagi Tahun 1448 Hijrah.

Di Negara Brunei Darussalam yang majoriti penduduknya berugama Islam, seperti lazimnya, Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam diadakan secara besar-besaran sebagai salah satu usaha untuk memperkembangkan dan menyemarakkan lagi Syi’ar Islam di negara ini, di samping memperingati kelahiran junjungan besar kita, Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam, yang disambut pada setiap 12 Rabiulawal Tahun Hijrah.

Sehubungan dengan itu, pada tahun ini Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam Peringkat Negara bagi Tahun 1448 Hijrah akan diadakan secara serentak di keempat-empat daerah, dengan tumpuan utama di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan, pada hari Selasa, 12 Rabiulawal 1448 bersamaan 25 Ogos 2026, bermula pada pukul 7.00 pagi dengan Perhimpunan dan Perarakan.

Sebagai persediaan bagi memastikan kelancaran acara kemuncak Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam Peringkat Negara bagi Tahun 1448 Hijrah, Latihan Penuh (Rehearsal) bagi Daerah Brunei dan Muara diadakan pagi tadi bertempat di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan. 

Hadir sama bagi menyaksikan Latihan Penuh pagi tadi ialah Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Menteri Hal Ehwal Ugama, selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Majlis Sambutan Hari-Hari Kebesaran Islam Peringkat Negara dan Musabaqah Membaca Al-Qu’ran Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1448 Hijrah;   Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof, Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II; Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam); Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang); dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd Hanifah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tenaga, Huluan dan Hiliran).

Turut hadir Setiausaha-Setiausaha Tetap dan Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap daripada pengendali-pengendali bersama, serta Ahli-Ahli Jawatankuasa Tertinggi yang lain.

Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam Peringkat Negara bagi Tahun 1448 Hijrah dikendalikan bersama oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama, Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri, serta Dewan Perusahaan dan Perniagaan Melayu Brunei.

Tema bagi Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam Peringkat Negara bagi Tahun 1448 Hijrah ialah Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam Suluh Aqidah.

 

Foto: PDI