Tutong, Selasa, 06 Rabiulawal 1448 bersamaan 18 Ogos 2026-Bagi memperingati pengorbanan Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam dalam menyebarkan syiar Islam, sekali gus menyemai rasa kasih dan cinta terhadap Baginda, Rombongan Dikir Kementerian Hal Ehwal Ugama meneruskan lagi Majlis Ihya Maulidur Rasul yang diadakan pada petang tadi di Masjid Kampung Danau, Daerah Tutong, bersempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bagi Tahun 1448H/2026M.
Majlis tersebut turut menjadi salah satu usaha untuk memakmurkan masjid, di samping menjadi wadah bagi mengeratkan hubungan silaturrahim antara pegawai dan kakitangan Kementerian Hal Ehwal Ugama dengan jemaah masjid serta penduduk kampung di sekitarnya.
Mengetuai rombongan ialah Yang Mulia Dr. Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama. Turut hadir ialah pengarah-pengarah, pegawai-pegawai kanan dan kakitangan Kementerian Hal Ehwal Ugama, Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Kampung Danau, Daerah Tutong serta jemaah Masjid.
Majlis diserikan dengan tazkirah yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Muhammad Jalaluddin bin Junaidi, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, Kampung Sungai Kelugos, Daerah Tutong. Acara kemudiannya diteruskan dengan Dikir Maulud.
Bagi memberkati majlis, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Yang Mulia Awang Abdul Hadi bin Abd Rahman, Imam Masjid Kampung Danau, Daerah Tutong.
Majlis Dikir Maulud di masjid-masjid di seluruh negara diadakan serentak mulai 01 Rabiulawal 1448 bersamaan 13 Ogos 2026, sejurus selepas menunaikan sembahyang fardhu Maghrib, dan berlangsung selama 12 malam berturut-turut sehingga 12 Rabiulawal 1448 bersamaan 24 Ogos 2026.
Antara kelebihan berselawat ke atas Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam ialah memperoleh rahmat dan pahala yang besar daripada Allah Subhanahu Wa Ta’ala, mendapat kebaikan serta dihapuskan dosa. Amalan memperbanyakkan selawat juga menjadi salah satu sebab doa seseorang diterima oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala, selain menjadi amalan yang dapat melepaskan diri daripada keresahan dan kesusahan pada Hari Kiamat.
Rombongan Dikir Maulud Kementerian Hal Ehwal Ugama seterusnya akan berkunjung ke Balai Ibadat Kampung Merangking, Daerah Belait, pada hari Khamis, 08 Rabiulawal 1448 bersamaan 20 Ogos 2026.


Foto: JHEM