Berakas, Selasa, 05 Rabiulawal 1448 bersamaan 18 Ogos 2026–Perhimpunan dan Perarakan Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam Peringkat Negara bagi Tahun 1448 Hijrah akan diadakan secara serentak di seluruh negara pada hari Selasa, 12 Rabiulawal 1448 Hijrah bersamaan 25 Ogos 2026 Masihi, bermula pada pukul 7.00 pagi, dengan tema “Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam Suluh Aqidah”.
Seperti lazimnya, acara kemuncak sambutan di peringkat negara akan diadakan di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan, yang akan menjadi lokasi utama bagi perhimpunan dan perarakan tersebut.
Sehubungan itu, bagi memastikan perjalanan Perhimpunan dan Perarakan Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam Peringkat Negara bagi Tahun 1448 Hijrah berjalan dengan lancar, satu taklimat dan perjumpaan bersama ketua-ketua pasukan telah diadakan pada pagi tadi di Dewan Multaqa, Lantai Bawah, Bangunan Darul Itqan, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Jalan Dewan Majlis, Berakas.
Perjumpaan tersebut dipengerusikan oleh Yang Mulia Dr. Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama, selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerja Perhimpunan dan Perarakan bagi Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam Peringkat Negara bagi Tahun 1448 Hijrah.
Antara agensi yang turut memberikan taklimat ialah Jabatan Adat Istiadat Negara; Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Perdana Menteri; Jabatan Perubatan dan Kesihatan, Kementerian Kesihatan; Jabatan Pentadbiran dan Perkhidmatan-Perkhidmatan, Kementerian Pendidikan; Jabatan Pentadbiran, Kementerian Hal Ehwal Ugama; Bahagian Bangunan dan Pemeliharaan, Kementerian Hal Ehwal Ugama; serta Urus Setia.
Pada tahun ini, perhimpunan, perarakan dan perbarisan dibahagikan kepada lima (5) kategori, iaitu Pasukan Utama; Kementerian-Kementerian; Sekolah-Sekolah Menengah dan Institusi Pengajian Tinggi; Sekolah-Sekolah Rendah, Ugama dan Persediaan Arab; Kampung dan Masjid dan Persatuan, dan sektor swasta.
Melalui taklimat yang diberikan, para wakil ketua pasukan berkesempatan untuk mengambil perhatian terhadap perkara-perkara yang berkaitan, termasuk tatacara, peraturan serta persiapan yang perlu dilaksanakan bagi memastikan perjalanan perhimpunan dan perarakan pada tahun ini dapat berlangsung dengan lancar, teratur dan sempurna, selaras dengan hasrat penganjuran sambutan berkenaan.




Foto: BPAAM