Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

ROMBONGAN DIKIR KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA  KE MASJID KAMPUNG BELAIS DAERAH TEMBURONG BERSEMPENA SAMBUTAN  MAULUD NABI MUHAMMAD SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASALLAM BAGI TAHUN 1448H/2026M

17 August 2026

ROMBONGAN DIKIR KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA KE MASJID KAMPUNG BELAIS DAERAH TEMBURONG BERSEMPENA SAMBUTAN MAULUD NABI MUHAMMAD SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASALLAM BAGI TAHUN 1448H/2026M

Temburong, Isnin, 05 Rabiulawal 1448 bersamaan 17 Ogos 2026–Rombongan Dikir Kementerian Hal Ehwal Ugama telah mengadakan Majlis Ihya Maulidur Rasul lewat petang tadi bertempat di Masjid Kampung Belais, Daerah Temburong bersempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bagi Tahun 1448H/2026M.

Mengetuai rombongan ialah Yang Mulia Awang Haji Shamsol bin Haji Omar, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Kugamaan) Kementerian Hal Ehwal Ugama. Turut hadir, Pengarah-pengarah, pegawai-pegawai kanan dan kakitangan dari Kementerian Hal Ehwal Ugama, Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Belais, Daerah Temburong serta jemaah masjid berkenaan.

Majlis diserikan dengan Tazkirah disampaikan oleh Yang Mulia Awang Muhammad Safwan bin Mohd Suffian, Penolong Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da’wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama. Kemudian acara dikir pun dimulakan.

Bagi memberkati majlis Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Yang Mulia Awang Mohd. Safwan bin Zulkifli, Imam Masjid Kampung Belais, Daerah Temburong. 

Majlis Dikir Maulud selama 12 malam berturut-turut di masjid-masjid seluruh negara bertujuan mengingati pengorbanan Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam dalam menyebarkan syiar Islam sekali gus menanamkan rasa kasih dan cinta terhadap Baginda. Di samping menjadi salah satu usaha memakmurkan masjid, ianya juga sebagai wadah untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara pegawai dan kakitangan Kementerian Hal Ehwal Ugama bersama jemaah masjid serta penduduk kampung sekitarnya.

Antara kelebihan bagi orang yang berselawat ke atas Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam ialah memperoleh rahmat dan pahala yang besar daripada Allah Subhanahu Wa Ta’ala, mendapat kebaikan serta dihapuskan daripadanya dosa. Amalan memperbanyakkan selawat juga menjadi sebab doa seseorang itu diterima oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala, selain melepaskan diri daripada keresahan dan kesusahan pada hari Kiamat.

Rombongan Dikir Maulud Kementerian Hal Ehwal Ugama seterusnya akan berkunjung ke Masjid Kampung Danau, Daerah Tutong pada hari Selasa, 06 Rabiulawal 1448 bersamaan 18 Ogos 2026.

 

Foto: JHEM