Tutong, Isnin, 04 Rabiulawal 1448 bersamaan 17 OGOS 2026–Bagi memperingati hari keputeraan junjungan besar Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam melalui bacaan selawat dan puji-pujian ke atas Baginda, di samping menyemarakkan sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam serta mengembangkan syiar Islam di negara ini, Jabatan Hal Ehwal Masjid melalui Bahagian Hal Ehwal Muslimah dan Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Tutong, dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Rancangan Perumahan Negara Bukit Beruang, Daerah Tutong, telah mengadakan Majlis Dikir Syarafil Anam Sempena Maulidur Rasul Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bagi Kelas Bimbingan Muslimah Daerah Tutong. Majlis tersebut telah diadakan di masjid berkenaan pada pagi tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Yang Mulia Datin Norazimah binti Haji Ramlee, isteri Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama. Turut hadir ialah pegawai dan kakitangan daripada Jabatan Hal Ehwal Masjid dan Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Tutong, Muslimah masjid-masjid Daerah Tutong serta Ahli Jawatankuasa Takmir Muslimah Masjid.
Antara objektif utama majlis ini adalah untuk menzahirkan rasa kecintaan terhadap Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam melalui amalan selawat dan zikir, menggalakkan pembudayaan dikir Brunei dalam kalangan Muslimah serta mengeratkan hubungan silaturahim antara peserta Kelas Bimbingan Muslimah dengan Ahli Jawatankuasa Takmir Muslimah Masjid.
Diharapkan agar penganjuran majlis seumpama ini akan terus menyemarakkan kecintaan terhadap Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam, di samping menarik minat para Muslimah untuk mendalami, menghayati dan mengamalkan dikir-dikir Brunei yang merupakan salah satu warisan kebudayaan keagamaan masyarakat Brunei yang telah diwarisi secara turun-temurun.



Foto: JHEM