Negara Brunei Darussalam, Sabtu, 03 Rabiulawal 1448 bersamaan 15 Ogos 2026–Golongan belia merupakan aset penting dalam pembentukan masa depan agama, bangsa dan negara. Justeru, usia muda perlu dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya untuk membina jati diri, memperkukuh iman serta membentuk akhlak yang mulia.
Dalam hal ini, para belia diseru agar tidak menunggu diri menjadi sempurna untuk kembali mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Sebaliknya, setiap perubahan boleh dimulakan dengan langkah kecil dan dilakukan secara konsisten, antaranya dengan menjaga solat, memilih pergaulan yang baik serta menjaga perkara yang dilihat, didengar dan diikuti agar sentiasa memberi kesan positif terhadap hati dan akhlak.
Selain itu, tazkirah berkenaan turut mengingatkan para belia supaya tidak mudah berputus asa sekiranya perubahan diri berlaku secara perlahan. Setiap usaha untuk memperbaiki diri, walaupun kecil, tetap mempunyai nilai di sisi Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Sekiranya tersilap langkah, seseorang hendaklah segera bertaubat, bangkit semula dan terus berusaha mendekatkan diri kepada-Nya.
Para belia juga diseru untuk memanfaatkan usia muda, masa, tenaga dan peluang yang dikurniakan dengan melakukan perkara-perkara yang bermanfaat, di samping bijak menangani pengaruh media sosial, hiburan dan trend semasa agar tidak melalaikan daripada tanggungjawab terhadap agama.
Demikian antara inti pati Tazkirah bertajuk Belia Beriman: Membina Diri, Mendekati Ilahi yang disampaikan oleh Yang Mulia Dayang Hajah 'Aqilah Mukarramah binti Haji Salleh, Pembantu Perkembangan Ugama, Pusat Da’wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, bagi menyerikan Malam Munajat Khas untuk Wanita Ke-39 anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama Kali Ke-242 pada malam tadi.
Menyemarakkan Program Malam Munajat minggu ini ialah Ahli Jawatankuasa Kumpulan Akhawatus Sofiyyah dan Kumpulan Soutul Ukhuwwahy di bawah Program Keugamaan Belia (PKB), Pusat Da’wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama. Juga menyerikan, para muslimah dan jemaah dari beberapa buah masjid seluruh negara serta warga kerja wanita di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama dan individu yang mengikuti program ini secara maya dari kediaman masing-masing.
Atur cara Munajat malam tadi dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Mulia Dayang Tuty Haryati Agustina binti Haji Abu Bakar, Kumpulan Akhawatus Sofiyyah, Program Keugamaan Belia, Pusat Da’wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama dari Surau Sekolah Arab Raja Isteri Pengiran Anak Damit.
Diikuti dengan bacaan Surah Al-Mulk beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Dayang Nor Syahirah Ulfa binti Aliudin, Ahli Kumpulan Soutul Ukhuwwah, Program Keugamaan Belia, Pusat Da’wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama. Seterusnya, Doa Munajat dibacakan oleh Yang Mulia Dayang Nurzainatun Hasmah binti Metussin, Ketua Kumpulan Soutul Ukhuwwah.
Sejurus selesai Tazkirah, disusuli dengan bacaan Asma Al Husna beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Dayang Nuur Hamizah binti Haji Md Yunos, Ahli Kumpulan Soutul Ukhuwwah.
Kemudiannya, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Yang Mulia Dayang Nadiah binti Awang Mohd Ja'afar, Kumpulan Akhawatus Sofiyyah.
Program Malam Munajat bertujuan mengajak masyarakat Islam mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala melalui amalan kerohanian, memohon keampunan, membaca dan menghayati ayat-ayat suci Al-Quran, serta merafakkan dan mengaminkan doa secara beramai-ramai dengan penuh pengharapan agar Negara Brunei Darussalam beserta seluruh rakyat dan penduduknya sentiasa terpelihara daripada sebarang musibah dan penyakit berjangkit. Semoga segala amalan kerohanian dan doa munajat yang kita panjatkan serta aminkan diterima dan dimakbulkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala.
Orang ramai dialu-alukan untuk ikut serta dalam acara Malam Munajat yang diadakan secara maya melalui pautan berikut: http://tiny.cc/munajatkheuwanita.
