Kuala Belait, Khamis, 01 Rabiulawal 1448 bersamaan 13 Ogos 2026–Bagi menyemarakkan lagi syiar Islam serta menanamkan rasa kecintaan yang mendalam terhadap Junjungan Besar kita Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wassallam, Majlis Pembukaan Dikir sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wassallam Bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi diadakan pada malam tadi bertempat di Masjid Zainab, Lumut, Daerah Belait.
Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wassallam adalah sebagai memperingati detik kelahiran rasul terakhir dan pembawa Rahmat ke seluruh alam ini, disambut pada setiap 12 Rabiulawal tahun Hijrah. Penganjuran majlis seumpama ini merupakan sebagai wadah manifestasi umat Islam di negara ini bagi menzahirkan rasa kasih sayang, sanjungan tinggi, serta kesyukuran yang tidak terhingga ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta'ala atas pengutusan Baginda. Di Negara Brunei Darussalam, sambutan agung ini lazimnya disemarakkan dengan Majlis Dikir Syarafil Anam selama 12 malam berturut-turut, yang diadakan secara serentak di semua masjid, surau, dan balai ibadat di seluruh negara, bermula sebaik sahaja selesai menunaikan sembahyang fardhu Maghrib berjemaah.
Hadir mengetuai rombongan pegawai dan kakitangan jabatan-jabatan kerajaan, ahli jawatankuasa kerja sambutan, penghulu-penghulu mukim, ketua-ketua kampung, serta wakil dari syarikat-syarikat swasta di Daerah Belait, ialah Yang Mulia Awang Mohammad Faiq bin Haji Rani, Pemangku Pegawai Daerah Belait, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.
Atur cara majlis yang berkebajikan itu dimulakan dengan menunaikan sembahyang fardhu Maghrib berjemaah. Sejurus selepas itu, majlis diteruskan dengan bacaan Umul Kitab, Surah Al-Fatihah secara beramai-ramai yang dipimpin oleh Ketua Rombongan, kemudian Dikir Assalamu’alaika dan Dikir Syarafil Anam oleh para jemaah dan rombongan yang hadir. Bagi memberkati majlis, doa telah dibacakan oleh Yang Mulia Awang Md. Didi Normandy bin Awang Haji Ahmad, Imam Masjid Zainab, Lumut.
Turut sama hadir majlis tersebut ialah, Yang Mulia Awang Mohamad Aliyani bin Ismail, Ketua Pegawai Ugama Daerah Belait.
Majlis dikir di masjid-masjid diadakan serentak di seluruh negara mulai pada 01 Rabiulawal 1448 bersamaan 13 Ogos 2026, sejurus selesai menunaikan sembahyang fardhu Maghrib dan akan berlangsung selama 12 malam iaitu sehingga 12 Rabiulawal 1448 bersamaan 24 Ogos 2026.
Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wassallam bersabda: Sesiapa mengucapkan selawat sekali kepadaku, Allah berselawat (memberi rahmat) kepadanya sepuluh kali. Oleh itu marilah kita sama-sama merebut ganjaran yang telah dijanjikan oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala dengan memperbanyakkan selawat kepada Junjungan Besra kita Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wassallam.