Bandar Seri Begawan, Khamis, 01 Rabiulawal 1448 bersamaan 13 Ogos 2026–Menanamkan rasa kasih dan cinta yang mendalam kepada Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam di samping memohon ganjaran teristimewa dan syafa’at baginda bagi mereka yang sentiasa berselawat ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam merupakan amalan mulia. Amalan ini bukan sahaja menyuburkan keimanan, bahkan turut membentuk jati diri seorang Muslim.
Bersempena memperingati Hari Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam yang diraikan pada setiap 12 Rabiulawal tahun Hijrah, semua masjid, surau dan balai ibadat di Negara Brunei Darussalam akan terus bergema dengan alunan Dikir Maulud Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam. Majlis Dikir ini akan diadakan selama 12 malam berturut-turut, bermula pada 01 Rabiulawal 1448 bersamaan 13 Ogos 2026 hingga 12 Rabiulawal 1448 bersamaan 24 Ogos 2026.
Sehubungan itu, Majlis Pembukaan Dikir Maulud Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam diadakan malam tadi di Masjid Omar Ali Saifuddien, yang sekaligus menandakan bermulanya Majlis Dikir Syarafil Anam di semua masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara bagi Tahun 1448H/2026M.
Hadir selaku Tetamu Kehormat majlis ialah Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Menteri Hal Ehwal Ugama dan Datin.
Turut hadir ialah Yang Mulia Dr. Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Isteri; Yang Mulia Dr Haji Arman bin Haji Asmad, Ra’es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan; Yang Mulia Awang Haji Shamsol bin Haji Omar, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) Kementerian Hal Ehwal Ugama; pengarah-pengarah, pegawai-pegawai kanan dan kakitangan dari Kementerian Hal Ehwal Ugama serta jemaah masjid berkenaan.
Selain memperingati Hari Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam, Majlis Dikir ini juga bertujuan untuk memakmurkan masjid, mengimarahkan syiar Islam serta menjadi salah satu acara sambutan hari-hari kebesaran Islam yang disambut oleh umat Islam di negara ini. Di samping itu, ia turut berperanan mengeratkan hubungan silaturahim antara pegawai dan kakitangan Kementerian Hal Ehwal Ugama dengan jemaah masjid serta penduduk kampung.
Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah secara beramai-ramai dipimpin oleh Tetamu Kehormat Majlis. Seterusnya, Tazkirah mengenai dengan kelebihan Selawat disampaikan oleh Yang Mulia Awang Haji Ahmad Muzhafar bin Haji Marsidi, Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Persembahan Dikir dimulakan dengan Dikir Assalamualaika oleh Pasukan Dikir Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, diikuti dengan Dikir Khairuman Udana Laila oleh Pasukan Dikir Kampung Belimbing Subok. Seterusnya, Dikir Tanaqal Indara dipersembahkan oleh Persatuan Perangkab. Manakala Dikir Al-Hamdu dibawakan oleh Pasukan Dikir Warga Emas dan diakhiri dengan Dikir Asyraqal yang dipersembahkan oleh Pasukan Diikir Jabatan Pengajian Islam Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Doa Dikir kemudiannya dibacakan oleh Yang Mulia Awang Khairu Ariffin bin Haji Yussof, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Omar ‘Ali Saifuddien dan diikuti dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam yang dibacakan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Awang Haji Emran bin Haji Kunchang. Pegawai Masjid, Masjid Omar ‘Ali Saifuddien.


Foto: JHEM