Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

PENYAMPAIAN HADIAH PERTANDINGAN  MEMBACA SURAH AL-FATIHAH DAN MENGHAFAZ AYAT-AYAT LAZIM BAGI  KELAS AL-QURAN DAN MUQADDAM DI MASJID, SURAU DAN BALAI IBADAT SELURUH NEGARA  TAHUN 1448H/2026M

13 August 2026

PENYAMPAIAN HADIAH PERTANDINGAN MEMBACA SURAH AL-FATIHAH DAN MENGHAFAZ AYAT-AYAT LAZIM BAGI KELAS AL-QURAN DAN MUQADDAM DI MASJID, SURAU DAN BALAI IBADAT SELURUH NEGARA TAHUN 1448H/2026M

Bandar Seri Begawan, Khamis, 29 Safar 1448 bersamaan 13 Ogos 2026–Dalam usaha memupuk semangat dalam kalangan murid Kelas Al-Quran dan Muqaddam di masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara agar celik Al-Quran serta menjadikannya sebagai amalan harian yang berterusan, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Unit Kelas Al-Quran dan Muqaddam, Bahagian Imarah, dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Ash-Shaliheen mengadakan Pertandingan Membaca Surah Al-Fatihah dan Menghafaz Ayat-Ayat Lazim bagi Kelas Al-Quran dan Muqaddam di Masjid, Surau dan Balai Ibadat Seluruh Negara Tahun 1448H/2026M, sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80 bagi tahun 1448H/2026M pada pagi tadi. Pertandingan tersebut telah diadakan di Masjid Ash-Shaliheen.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah Yang Mulia Awang Haji Amir Hisham bin Haji Masri, Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Antara tujuan pertandingan ini diadakan adalah untuk melahirkan kanak-kanak yang mampu membaca Al-Quran dengan lancar dan sempurna, memandangkan bacaan Al-Quran merupakan salah satu rukun dalam sembahyang. Selain itu, pertandingan ini juga bertujuan untuk menggalakkan kanak-kanak membaca Al-Quran sebagai amalan harian serta meningkatkan kesedaran dan minat mereka terhadap Al-Quran.

Acara ini turut dihasratkan untuk melahirkan lebih ramai kanak-kanak yang celik Al-Quran dan seterusnya menjadikan masjid sebagai pusat penyebaran dakwah kepada masyarakat umum. Di samping itu, pertandingan ini dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan peserta, khususnya.

Seramai 49 orang peserta telah menyertai pertandingan tersebut yang dibahagikan kepada dua kategori, iaitu Kategori A, bagi peserta berumur antara 7 hingga 9 tahun, lelaki dan perempuan, manakala Kategori B bagi peserta berumur antara 10 hingga 12 tahun, lelaki dan perempuan. 

Semoga dengan adanya pertandingan seumpama ini akan dapat menampilkan peserta-peserta yang berbakat dalam pelbagai bidang. Di samping itu, pertandingan ini diharap dapat mencungkil bakat dalam kalangan kanak-kanak Kelas Al-Quran dan Muqaddam, serta memupuk kecintaan mereka terhadap Al-Quran agar menjadikannya sebagai teman dalam kehidupan.

Usaha seumpama ini juga diharap dapat menarik lebih ramai kanak-kanak untuk mengikuti pelbagai aktiviti yang dianjurkan di masjid-masjid, khususnya Kelas Al-Quran dan Muqaddam, sekali gus memupuk generasi yang celik Al-Quran dan mencintai masjid.

 

Foto: JHEM