Bandar Seri Begawan, Khamis, 23 Safar 1448 bersamaan 06 Ogos 2026-Bagi menyemarkkan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80, Tahun 2026, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama mengadakan Persembahan Pentas Perayaan Bercorak Keagamaan pada malam tadi bertempat di Pentas Perayaan, Kawasan Letak Kereta berhadapan Muzium Alat Kebesaran Diraja, Bandar Seri Begawan.
Penglibatan Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama dalam mengadakan persembahan pentas perayaan malam bercorak keagamaan ini merupakan sebahagian daripada aktiviti tahunan jabatan sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Penganjuran persembahan ini bertujuan untuk memberikan peluang kepada para pegawai dan kakitangan Pusat Da'wah Islamiah menzahirkan rasa kasih dan taat setia kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan, di samping turut memeriahkan suasana sambutan perayaan.
Hadir selaku Tetamu Kehormat ialah Yang Mulia Dr Awang Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Awang haji Ahmad, Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama, dan isteri. Turut hadir ialah pengarah-pengarah jabatan dan para pegawai kanan di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah dan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam yang dipimpin oleh Yang Mulia Awang Saifullah bin Haji Mohd Sofian, ahli Persatuan Nurul Islam. Acara diteruskan dengan persembahan Selawat Tafrijiyah dan Asmaul Husna oleh Persatuan Nurul Islam.
Majlis diteruskan dengan Forum Keugamaan bertajuk “Perjalanan Mencari Kebenaran: Mengapa Saya Memilih Islam" yang menampilkan ahli-ahli Persatuan Nurul Islam iaitu Yang Mulia Awang Haji Adnan bin Musim, Yang Mulia Awang Mohammad Nasrul Budin bin Abdullah, dan Yang Mulia Awang Haji Mohd Hazwan bin Abdullah sebagai ahli panel. Forum tersebut dipengerusikan oleh Yang Mulia Awang Mohammad Nasyith bin Superi, Pegawai Ugama, Pusat Da'wah Islamiah.
Sepanjang forum berkenaan, para ahli panel telah berkongsi pengalaman masing-masing dalam menelusuri perjalanan mencari kebenaran sehingga dikurniakan hidayah untuk memeluk agama Islam. Perkongsian tersebut menyentuh pengalaman hidup sebelum mengenali Islam, detik-detik yang membuka hati untuk menerima hidayah, cabaran yang dihadapi sepanjang proses memeluk agama Islam serta perubahan positif yang dirasai setelah menghayati dan mengamalkan ajaran Islam dalam kehidupan seharian.
Forum tersebut turut memberikan gambaran yang lebih mendalam mengenai proses mengenali Islam daripada perspektif para muallaf sendiri. Di samping menyemai rasa syukur atas nikmat iman, forum berkenaan turut memperkukuhkan semangat ukhuwah, meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap kehidupan para muallaf serta mengetengahkan keindahan ajaran Islam yang berteraskan rahmat, kasih sayang dan hikmah.
Majlis diteruskan dengan sesi Kuiz Keugamaan yang melibatkan para pengunjung yang hadir menyaksikan persembahan pentas perayaan. Acara diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang kuiz yang disempurnakan oleh Tetamu Kehormat Majlis. Seterusnya, penyampaian cenderahati kepada Tetamu Kehormat Majlis yang disempurnakan oleh Yang Mulia Awang Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abd Rahman, Pemangku Pengarah Pusat Da'wah Islamiah.









Foto: PDI