Brunei Muara, Rabu, 21 Safar 1448 bersamaan 05 Ogos 2026–Usaha membudayakan pembacaan dan penghayatan Al-Quran dalam kalangan generasi muda terus diperkasakan menerusi penganjuran Majlis Khatam Al-Quran di sekolah-sekolah ugama seluruh negara. Majlis berkenaan diadakan bagi meraikan murid-murid Darjah VI yang berjaya menamatkan bacaan 30 juzuk Al-Quran, sekali gus mendukung usaha berterusan Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama dalam melahirkan generasi celik Al-Quran yang beriman, beramal dan bertaqwa, di samping memperkukuhkan penghayatan ugama serta menyemarakkan syiar Islam di Negara Brunei Darussalam.
Sehubungan itu, Sekolah Ugama Lambak Kanan (Sesi Petang), petang tadi, telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran bagi Murid-Murid Darjah VI bertempat di Dewan Serbaguna Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Muta-Wakkilah Hayatul Bolkiah, Serusop bagi meraikan seramai 130 murid Darjah VI yang telah berjaya menamatkan bacaan 30 juzuk Al-Quran.
Hadir selaku Tetamu Khas Majlis ialah Yang Mulia Awang Haji Muhamad Dahrin bin Daud, Ketua Bahagian Penyelidikan, Perancangan dan Perkembangan, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, yang turut memimpin bacaan Surah Al-Fatihah bagi memulakan majlis.
Majlis diteruskan dengan bacaan surah-surah lazim oleh para peserta khatam, diikuti dengan bacaan Takhtim, Doa Khatam dan persembahan dikir. Acara kemudiannya disusuli dengan penyampaian Sijil Khatam kepada para peserta yang disempurnakan oleh Tetamu Khas Majlis sebelum diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.
Pada masa yang sama, Sekolah Ugama Lumapas turut mengadakan Majlis Khatam Al-Quran bagi Murid-Murid Darjah VI bertempat di dewan sekolah berkenaan. Seramai 49 murid yang Berjaya menamatkan bacaan 30 juzuk Al-Quran diraikan pada majlis tersebut, terdiri daripada 31 orang murid lelaki, 17 orang murid perempuan dan seorang murid berkeperluan khas.
Hadir selaku Tetamu Khas Majlis ialah Yang Mulia Awang Haji Amin bin Haji Tengah, Ketua Bahagian Kewangan, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, yang turut memimpin bacaan Surah Al-Fatihah serta menyempurnakan penyampaian Sijil Khatam kepada para peserta.